Berita

Modul ‘Upskilling’: PERKESO, Kementerian Sumber Manusia diberi tempoh sebulan – PM

- Diterbit 1 Mac 2024 6:50 PM MYT

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia diberi tempoh sebulan untuk menyediakan modul latihan peningkatan kemahiran yang baharu bagi melahirkan pekerja lebih berkompetensi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kemahiran membolehkan negara bersaing dalam pasaran pekerjaan yang lebih sofistikated khususnya bidang yang mempunyai permintaan tinggi oleh pemain industri.

Beliau berkata perubahan teknologi yang pesat pada masa kini menuntut jabatan itu melakukan anjakan paradigma dan tidak lagi terikat dengan sebarang kaedah lama yang dianggap lapuk serta penuh dengan karenah birokrasi.

“Itulah tujuan saya hadir pada hari ini iaitu bagi memperkukuh keterangkuman, memastikan kita beralih dengan anjakan baharu dan tidak terikat melainkan dengan sistem atau pendekatan yang baik dan perlu dipertahankan.

“Untuk itu, saya bagi tempoh satu bulan kepada Perkeso dan kementerian bagi kemukakan cadangan bagaimana kita boleh adakan kejutan baharu dalam bentuk program, latihan upskilling yang  jauh lebih hebat dari apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Kementerian Sumber Manusia MADANI MyFutureJobs OKU dan TVET serta Pelancaran Inisiatif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Mengulas lebih lanjut, Anwar berkata selepas tempoh sebulan, cadangan itu harus dibawa oleh menteri sumber manusia ke Mesyuarat Kabinet untuk diteliti Jemaah Menteri sebelum keputusan lanjut dibuat.

Perdana Menteri berkata beliau yakin Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia tidak melihat permintaan itu sebagai bebanan, sebaliknya sebagai kesempatan luar biasa dari sudut kesediaan memikul amanah dan kepercayaan besar untuk membawa perubahan yang mendesak dan kritikal bagi negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perubahan teknologi yang pesat merupakan satu cabaran yang sukar ditangani sekiranya negara masih terperangkap dengan kaedah latihan yang lama untuk golongan pekerja.

Perdana Menteri berkata dalam konteks itu, Perkeso perlu melakukan perubahan menyeluruh dalam merangka modul peningkatan kemahiran dengan memperkenal instrumen baharu walaupun terpaksa merombak sistem latihan pendidikan kemahiran sedia ada.

Anwar berkata kerajaan MADANI juga mahu memastikan semua golongan pekerja diberi peluang dan ruang untuk meningkatkan tahap kemahiran serta taraf kehidupan tanpa mengira latar belakang individu berkenaan sama ada mereka dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) atau sebaliknya.

Katanya beliau yakin Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso berupaya melatih setiap individu dengan sebarang bentuk kemahiran, dan kerajaan sedia melakukan perubahan kepada sistem sedia ada asalkan peluang dapat diberikan sama rata kepada golongan itu.

“Saya beri jaminan selagi saya diberi amanah (untuk mentadbir), saya pastikan kita rombak, asalkan ia boleh mencapai kemajuan yang diharapkan kerana Malaysia berhak terangkat semula sebagai negara maju dan terhebat di dunia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas