Berita

SPRM sambung reman bekas setiausaha politik menteri, Datuk Seri

KEDUA-DUA suspek terbabit disyaki meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.
- Diterbit 27 Januari 2024 4:15 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

SPRM dalam kenyataan di sini hari ini berkata perintah reman selama tiga hari itu bermula esok hingga 30 Jan ini terhadap kedua-dua suspek yang berumur sekitar 40-an.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua suspek itu telah direman selama empat hari bermula 24 Jan lepas bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Mereka dipercayai telah menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian pada 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sepanjang tempoh siasatan, SPRM berkata beberapa buah kenderaan mewah yang dmiliki oleh suspek telah disita dan dirampas.

Kenderaan tersebut adalah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

SPRM berkata kesemua kenderaan mewah itu kini disimpan di gudang sitaannya.

Menurut SPRM kenderaan mewah tersebut dipercayai adalah hasil sumber rasuah yang telah diperoleh oleh suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terhadap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas