Berita

SPM: Rakan banyak bantu, naik semangat untuk belajar ketika musim pandemik

MENURUT Nur Alia, rakan-rakan banyak membantu, menaikkan semangat serta memberi motivasi kepadanya sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
- Diterbit 10 Jun 2021 12:34 PM MYT

SOKONGAN yang diterima daripada rakan bagi menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika musim pandemik banyak membantu Nur Alia Syafiqah Ashraf meraih keputusan yang cemerlang.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Batang Kali itu, yang memperoleh 9A, berkata beliau pernah terfikir untuk mengalah kerana tidak dapat menjalani pembelajaran dan menduduki SPM seperti calon lain pada tahun sebelumnya susulan penularan COVID-19.

“Rakan-Rakan banyak bantu saya, naikkan semangat serta motivasi untuk saya dapat 9A dalam SPM,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nur Alia Syafiqah mengakui ketika pembelajaran dalam talian dilakukan, beliau pernah terlepas beberapa kelas namun rakan-rakannya membantu dengan memberikan penerangan sehingga beliau faham.

Beliau memperoleh lima A+ bagi subjek Biologi, Kimia, Fizik, Sejarah dan Pendidikan Islam manakala empat A bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Matematik Tambahan.

Katanya guru sekolah juga turut menyedia modul pembelajaran sendiri yang akan dihantar melalui pos ke rumah pelajar untuk memastikan mereka tidak ketinggalan sepanjang pelaksanaan kawalan pergerakan tahun lepas.

Pelajar yang menetap di Rawang itu, yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara, turut menasihati calon SPM tahun ini untuk terus kuatkan semangat sehingga peperiksaan selesai. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas