Berita

Enam pelatih AMD peroleh keputusan SPM membanggakan

ENAM bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) berjaya meraih keputusan yang membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini. Kredit foto oleh - Utusan Malaysia
- Diterbit 10 Jun 2021 12:21 PM MYT

ENAM bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) berjaya meraih keputusan yang membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya berkata pelatih yang meraih keputusan 6A adalah Muhammad Haziq Mohd Zaki, Akmal Izzuddin Azlan dan Muhammad Amjad Rifaie Mohamad Nazi.

Sementara Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri memperoleh keputusan 4A manakala Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal dan Muhammad Syukur Fariz Januri, masing-masing memperoleh 3A.

“Meskipun berhadapan dengan situasi pendemik COVID-19 yang melanda negara, ia bukan satu penghalang untuk membuktikan bahawa pelatih di AMD boleh cemerlang dalam sukan dan pelajaran. Kesemua pelatih itu merupakan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP),“ demikian menurut kenyataan itu.

Enam pelatih berkenaan menurut NFDP juga telah mengikat kontrak bersama kelab profesional tempatan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak awal tahun ini dengan Muhammad Haziq, Akmal Izzuddin dan Muhammad Khairi Suffian telah diikat Selangor FC.

Muhammad Amjad Rifaie pula telah dilamar UiTM FC manakala Muhammad Najmuddin Akmal dan Muhammad Syukur Fariz pula disambar Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kami mendoakan agar mereka yang cemerlang ini dan juga semua graduan-graduan kelahiran AMD akan terus berjaya dalam kehidupan mereka dan juga menempah nama di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas