Berita

Speaker Dewan Rakyat minta parti politik kemuka surat akuan berkanun

- Diterbit 20 November 2022 12:52 PM MYT

YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun meminta parti politik yang menang jumlah kerusi substantial pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengemukakan nama-nama parti dan ahli Parlimen bebas (sekiranya ada), yang bersetuju menganggotai gabungan yang mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi, bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan melalui surat akuan berkanun.

Beliau berkata perkara itu sudah beliau maklumkan kepada ketua-ketua dan setiausaha-setiausaha parti berkenaan, melalui surat yang diutuskan hari ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mereka juga diminta menamakan seorang daripada ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka, yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun dari setiap ahli Dewan Rakyat yang menganggotai gabungan tersebut, yang dinyatakan dengan terang dan jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata dokumen-dokumen tersebut perlu diserahkan ke Istana Negara selewat-lewatnya esok sebelum pukul 2 petang.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong menerima maklum bahawa pada PRU15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada PRU15, memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, esok. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas