Berita

Solidariti bersama umat Islam di Al Aqsa

RAKYAT Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi tersebut.
- Diterbit 17 Mei 2021 5:32 AM MYT

BARU-BARU ini umat Islam telah dikejutkan sekali lagi dengan siri kebiadaban rejim Zionis-Israel yang menyerang penduduk Palestin. Pada malam-malam terakhir Ramadan yang lalu, umat Islam yang sedang menunaikan solat sunat Tarawih di perkarangan Masjidil Aqsa telah diserang dengan tembakan peluru getah dan bom gas.

Tindakan yang dianggap sebagai jenayah perang tersebut adalah rentetan daripada protes rakyat Palestin terhadap larangan rejim Zionis ke atas umat Islam daripada daripada memasuki Kota Lama Baitul Maqdis ketika bulan Ramadan. Larangan ini jelas menggambarkan kezaliman Israel dan kebiadaban mereka terhadap tempat ketiga paling suci bagi umat Islam. Pencerobohan yang dilakukan bukan sahaja mengundang reaksi kemarahan rakyat Palestin, bahkan umat Islam di seluruh dunia.

Serangan yang mula dilancarkan oleh rejim Zionis sejak 8 Mei lepas bukanlah sesuatu yang baharu. Ia adalah rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount iaitu kuil suci bagi orang Yahudi. Ia juga bertitik tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitul Maqdis ketika perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seluruh bandar tersebut pada tahun 1980. Berpunca daripada peristiwa tersebut, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid Al-Aqsa.

Pada ketika ini juga, berlaku pengusiran rakyat Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah, di mana penduduk asal yang sudah menetap berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi tersebut.

Masjid Al-Aqsa menurut perspektif Islam

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :

Maksudnya : “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Mekah), Masjid Al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi).”

Imam Badruddin Al-‘Aini telah menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadis ini. Beliau menyatakan:

“Dalam hadis tersebut menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ianya adalah masjid para Nabi AS. Ini kerana Masjid Al-Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al-Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat umat yang terdahulu.”

Kelebihan Masjid Al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi SAW sebelum Nabi SAW diangkat ke langit bertemu Allah SWT. Allah berfirman :

Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau.

Ia juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab : Masjid Al-Haram. Abu Zar bertanya lagi : Kemudian masjid apa? Baginda menjawab : Masjid Al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi : Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab : 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut.”

Di samping itu, Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah SWT. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Allah SWT berfirman:

Maksudnya : “(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.

Dalam menghuraikan ayat di atas, Imam al-Tabari turut menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Masjidil Aqsa adalah sebahagian daripada tanah suci.

Justeru, Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Keperluan umat Islam prihatin dalam isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa

Isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa bukanlah isu yang melibatkan rakyat di Palestin sahaja. Sebaliknya, ia adalah isu global yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh-musuh Islam mudah untuk menguasainya. Pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.

Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin bakal dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan sewajarnya memainkan peranan agar isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan. -WILAYAHKUPEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas