Artikel

Solidariti bersama Palestin

- Diterbit 2 November 2023 10:40 PM MYT

SUDAH terlalu lama Palestin menderita. Rakyatnya hidup dalam keadaan tidak menentu dan tidak aman lantaran ancaman berterusan daripada pihak zionis Israel.

Banyak harta benda termasuk kediaman musnah akibat nafsu serakah Israel yang tidak mengenal belas kasihan sehingga kehidupan rakyat porak poranda. Saban hari rakyat Pelestin menjalani kehidupan dalam bimbang, entah sempat melihat hari esok entah tidak.

Banyak negara, termasuk Malaysia, bersimpati dengan nasib Palestin dan rakyatnya. Ini dipamerkan melalui tunjuk perasaan mengutuk perbuatan rejim zionis, atau melalui perhimpunan solidariti yang melaungkan sokongan kepada Palestin menuntut kekejaman ke atas rakyat negara itu dihentikan.

Tetapi banyak pula yang hanya memerhatikan tanpa berbuat apa-apa, termasuk negara kuasa besar. Kerana itu negara-negara ini sudah tidak boleh diharap untuk menyelesaikan konflik Palestin. Mereka nyata menyokong Israel seperti tidak mahu konflik Palestin diselesaikan.

Namun Malaysia tetap bersama Palestin dan tidak gentar dengan ancaman daripada pihak Eropah kerana menyokong perjuangan Palestin. Ini ditegaskan sendiri oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kawan-kawan Kedai Kopi bangga dan terharu dengan sokongan rakyat Malaysia, para pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sukarela yang terus menerus bertali arus memberi sokongan kepada rakyat Palestin.

Memang wajar sokongan ini kerana sudah berdekad-dekad Palestin diancam oleh Israel dan rakyatnya menderita. Keberanian Malaysia bersuara lantang di pentas antarabangsa menyerlahkan ia serius mahu isu Palestin diselesaikan segera.

Sukar dibayangkan bagaimana rakyat Palestin hidup setiap hari di sebalik keganasan tentera Israel yang seperti sengaja mencari alasan untuk menyerang dan memusnahkan negara itu. Sesungguhnya, berapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Israel sombong dan berani kerana ada kuasa besar di belakangnya yang memberi restu terhadap keganasan dilakukan. Alasannya Israel berhak mempertahankan diri. Adakah Palestin tidak ada hak mempertahan diri?

Jika pihak Palestin melancar serangan ia dianggap tindakan keganasan. Tetapi jika Israel menyerang, itu untuk mempertahan diri. Sangat tidak adil perlakuan ini tetapi itulah juga pegangan negara-negara yang menyokong Israel.

Sedikit serangan oleh Palestin dibalas dengan serangan berskala besar sehingga mendatangkan kebinasaan teruk, kediaman rosak binasa dan kehidupan rakyat huru hara. Israel seolah-olah menunggu sahaja Palestin menyerang kerana itu adalah peluang untuk membalas balik dengan lebih dahsyat.

Kekejaman ini diperhatikan sahaja oleh kuasa besar. Mereka berpeluk tubuh dan memejamkan mata. Jika tiada restu dan sokongan kuasa besar ini Israel mungkin tidak berani sombong dan melakukan keganasan secara bersendirian.

Oleh itu bagi kawan-kawan Kedai Kopi tidak ada apa harapan yang boleh diletak di bahu kuasa besar. Mereka hanya berpura-pura dalam isu ini. Sekadar manis di bibir. Tindak tanduk mereka bagai telunjuk lurus kelingking berkait.

Jika ada resolusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjurus kepada mengecam Israel dan menyokong Palestin, ia akan digagalkan dengan kuasa veto negara besar yang memang penyokong kuat Israel. Kerana itu usah diharap kepada kuasa besar.

Sehubungan itu kawan-kawan Kedai Kopi menyanjung sikap negara-negara lain yang bersimpati dan menyokong Palestin. Ini termasuk Malaysia yang sejak dahulu memberi sokongan kuat kepada Palestin tanpa berbelah bahagi.

Walau pun Malaysia negara kecil, suara yang dibawa sekurang-kurangnya menunjukkan kepada dunia bahawa negara ini bersimpati serta berdiri bersama-sama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka. Penderitaan mereka sama-sama dirasai.

Pendirian ini tidak berubah, malah semakin kukuh. Mungkin Malaysia tidak mampu memberi bantuan ketenteraan, tetapi dalam bentuk lain seperti makanan, perubatan dan kewangan tetap dihulur. Juga tidak kurang penting ialah iringan doa.

Sudah terlalu lama rakyat Palestin menderita. Sinar bahagia masih terlalu samar-samar. Marilah sama-sama berdoa semoga lambat laun, dengan izin Allah, mereka akan beroleh kemenangan dan menjalani kehidupan lebih bahagia. Mereka sangat merindui detik ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas