Berita

40 kes baharu Covid-19, seorang warga tempatan meninggal dunia

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 14 Mei 2020 12:53 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 40 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 31 daripadanya adalah warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan bilangan kes positif
Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 6,819 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,356 kes.

“Sebanyak 70 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih kini 5,351
kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah
itu empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 112 kes.

“Kes kematian ke-112 (kes ke-6780) adalah lelaki warganegara tempatan berumur 39 tahun yang mempunyai
sejarah penyakit injap jantung serta kemalangan pada awal tahun yang mengakibatkan beliau patah kedua-dua
tulang utama kaki dan sukar bergerak sendiri.

“Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 9.52 malam 12 Mei lalu di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas