Berita

Solat jemaah, Jumaat ditangguh 10 hari mulai 17 Mac

MASJID Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
- Diterbit 16 Mac 2020 10:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, perkara tersebut  merupakan ketetapan yang diambil berdasarkan kepada taklimat Kementerian Kesihatan dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang di Hotel Pulse Grande di sini semalam (15 Mac).

Keputusan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jawatankuasa masjid dan surau disarankan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan. Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

ZULKIFLI mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah pada Muzakarah Khas mengenai Covid-19 di Putrajaya semalam.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah. Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut.

Zulkifli berkata, dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan perihal membabitkan aktiviti di masjid dan pengurusan jenazah adalah terpakai di Wilayah  Persekutuan.

Tambahnya, muzakarah berkenaan menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa di setiap  negeri untuk melaksanakan perkara yang telah ditetapkan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas