Berita

Fasiliti MSN, ISN ditutup sementara, Jackie Wong positif Covid-19

|JACKIE WONG
- Diterbit 16 Mac 2020 9:42 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan penutupan sementara fasiliti terpilih di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di  sini.

Langkah itu susulan laporan seorang atlet olahraga kebangsaan, Jackie Wong didapati positif Covid-19, dipercayai dijangkiti daripada ayahnya yang juga positif virus berkenaan.

Berdasarkan laporan diterima, atlet berkenaan pulang ke Sarawak pada 11 Mac (Rabu) lalu dan dikuarantin di Hospital Sibu.

“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet pelbagai acara sukan, saya sudah mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang dikunjungi atlet berkenaan untuk ditutup sementara bagi tujuan proses pembasmian dan sanitasi sepenuhnya.

“Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” kata Reezal Merican dalam satu kenyataan hari ini.

Reezal Merican berkata, dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat, selain arahan Kementerian Kesihatan (KKM), atlet, jurulatih serta pegawai yang pernah berhubung rapat (close contact) dengan atlet berkenaan akan diasingkan.

“Mereka juga dinasihatkan untuk menjalani ‘self-quarantine’ di asrama, menjalani ujian ‘screening’ dan menurut nasihat KKM yang selanjutnya,” kata beliau.

JACKIE WONG berjaya merangkul emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Untuk rekod, Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak balingan sejauh 68.22 meter (m) dan pemenang pingat perak acara berkenaan di temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Jackie memenangi pingat emas. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas