Berita

Skuad CP Negara ambil aura Harimau Malaya

SKUAD CP Negara tidak melepaskan peluang bergambar di Stadium Nasional Bukit Jalil.
- Diterbit 26 Januari 2020 2:53 PM MYT

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Celebral Palsy (CP) Malaysia bersyukur apabila diberi peluang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lepas.

Pengurus Skuad CP Malaysia, Ikram Zakaria berkata, peluang itu diperoleh menerusi perlawanan persahabatan di stadium berkenaan selepas menjalin kerjasama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Ujarnya, selain perlawanan persahabatan, pemain dan pegawai turut dibawa melawat kemudahan yang ada di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai salah satu program tanggungjawab sosial koporat (CSR).

“Skuad CP sangat bersyukur dan gembira apabila diberi peluang beraksi dalam stadium ini.

“Lawatan dan perlawanan ini adalah untuk meningkatkan moral semua pemain dalam pasukan, sebelum mereka beraksi mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN 2020 di Manila Mac depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ikram berkata, dia berharap semua pemain akan mempunyai semangat sukan yang tinggi selepas berpeluang beraksi di stadium keramat skuad Harimau Malaya.

Skuad CP Malaysia akan mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN 2020 di Manila yang dijadualkan pada 20 hingga 28 Mac ini.

Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad CP Malaysia meraih pingat gangsa apabila menewaskan pasukan Singapura 4-0 dalam per­lawanan penentuan pingat gangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas