PEMBANGUNAN sistem pendidikan negara sedikit terencat berhubung isu melanda Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung projek 1BestariNet.
Pakar pendidikan, Profesor Dr Abdul Rasid Jamian berkata isu yang kini sedang menyelubungi projek 1BestariNet sedikit sebanyak membantutkan perkembangan pembelajaran kepada bukan sahaja pelajar-pelajar malah kepada guru-guru juga.
“Konsep pendidikan masa kini sudah berubah seiring dengan arus peredaran zaman, di mana teknologi adalah sangat penting dalam pembelajaran.
“Bercakap berkenaan teknologi pula, saya beri contoh pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada kelas fizikal kepada penggunaan teknologi tanpa sempadan.
“Umum sedia maklum 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran PdP melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.
“Justeru itu, projek tersebut dilihat gagal dan amat merugikan bukan sahaja kepada negara malah kepada masyarakat,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah Abdul Rasid, PdP adalah satu medium yang sangat membantu dalam kecemerlangan negara, yang kini berubah medium mengikut aliran zaman perubahan teknologi.
“Secara tidak langsung bahan-bahan ini bantu perolehan dan penguasaan ilmu, ilmu itu bermakna boleh dicari sendiri dengan konsep pembelajaran kendiri.
“Sekali gus pelajar-pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran dan dapat selesaikan masalah sendiri dan mentelaah bahan-bahan dalam talian.
“Kepentingan teknologi dapat membantu pelajar-pelajar lebih berusaha keras dan menghargai sesuatu ilmu serta membina daya pemikiran aras tinggi yang lebih baik,” ujarnya.
Jelas beliau, konsep pendidikan masa depan lebih ke arah berteraskan alam maya ini menunjukkan bahawa kegagalan projek 1BestariNet tersebut memberi implikasi yang buruk terhadap sistem pendidikan negara.
“Pada pendapat saya, kemudahan untuk capaian Internet dalam proses pendidikan adalah satu keperluan atau kepentingan tambahan lagi pada masa kini dan masa depan.
“Justeru itu, jika kita gagal menyediakan satu platform maka terencatlah pembangunan sistem pendidikan di negara yang akan mendepani perubahan pembelajaran yang berlandaskan kepada AI atau IOT,” jelasnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata KPM mempunyai alternatif lain selain 1BestariNet iaitu pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) bagi pembelajaran dalam talian secara aktif.
Menurut Fouzi, DELIMa merupakan pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan sesi PdP dalam talian. Diperkenalkan pada 1 Julai 2019 menerusi Bilik Darjah Google, kini diterima baik murid serta guru.
“Ia adalah satu usaha daripada KPM dalam usaha meningkatkan kualiti PdP guru serta murid di sekolah.
“Dengan melayari DELIMa kesemua aplikasi dan servis yang disediakan dalam portal berkenaan akan berubah mengikut kesesuaian pengguna kerana keperluan untuk guru dan murid adalah berbeza.
“DELIMa didatangkan dengan ciri baharu menggabungkan tiga aspek utama iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.
“Melalui DELIMa kementerian menyediakan pelbagai kursus dalam talian dan secara bersemuka untuk memastikan guru berupaya mendidik murid menggunakan teknologi baharu.
“DELIMa direka agar ia boleh diakses oleh guru dan murid pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di kawasan luar bandar,” katanya. – WILAYAHKU