Berita

Siti Noor Amarina kini jurulatih pelatih MHC

SITI punya pengalaman berharga dalam sukan hoki.
- Diterbit 15 Mei 2020 5:57 AM MYT

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan bersetuju melantik bekas ketua pasukan wanita hoki kebangsaan, Siti Nur Amarina Ruhani ke dalam sistem kejurulatihan MHC.

Keputusan untuk menyerap bekas ketua pasukan negara itu ke dalam sistem tersebut berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki oleh Siti Nur Amarina sebagai pemain dan dalam masa yang sama berpotensi menjadi jurulatih.

Menurut Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, keputusan berkaitan penyerapan tersebut dibuat secara sebulat suara.

“Kami akan memastikan dia bersedia secukupnya termasuk menghantarnya mengikuti kursus kejurulatihan dan akan memutuskan di mana posisinya selepas itu,” kata Subahan.

April lalu, Siti Noor Amarina Ruhani mengumumkan persaraan selepas 16 tahun berkhidmat dengan pasukan kebangsaan.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah berkaitan maklumat terperinci mengenai pasukan kebangsaan lelaki, pasukan remaja lelaki dan wanita telah dibentangkan oleh semua jurulatih yang berkenaan.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut memberikan fokus bagaimana usaha bagi membentuk kerjasama yang lebih erat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjalinkan satu usahasama bagi mendidik lebih ramai guru-guru sekolah mempunyai sijil kejurulatihan hoki yang diiktiraf MHC.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas