Berita

Sindiket minta wang guna nama Ahli Parlimen Labuan

SUPERINTENDAN MUHAMAD FARID AHMAD
- Diterbit 17 April 2020 3:21 PM MYT

LABUAN – Sindiket penipuan atau ‘scammer’ ternyata tidak memilih mangsa apabila Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli turut menjadi sasaran selepas gambar dan namanya digunakan dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan meminta wang.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, individu tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama Rozman untuk meminta wang daripada tiga ketua kampung.

“Modus operandi suspek ialah menggunakan nombor telefon bimbit yang tidak dikenali dengan gambar profil beliau (Rozman) dan mengirim mesej WhatsApp kepada orang yang disasarkan.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat wakil rakyat itu 15 April lalu, kami mendapati suspek telah menyamar sebagai Ahli Parlimen Labuan dan menghantar mesej supaya memasukkan wang berjumlah RM3,500 ke dalam akaun di atas nama ‘Masterpro Enterprise Clinic Society’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Media, Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Muhamad Farid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan meminta orang ramai berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali menggunakan nama ahli politik untuk mendapatkan wang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas