Berita

Sidang Kemuncak MCY platform ketengahkan bakat, ciptaan Malaysia

- Diterbit 28 Julai 2023 12:30 AM MYT

SIDANG Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (Sidang Kemuncak MCY 2023) yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Ogos ini, di sini, bakal menjadi platform untuk bakat Malaysia mengetengahkan ciptaan mereka di peringkat global.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata bertemakan ‘Supercharge Your Way to Impact’, sidang kemuncak itu memfokuskan pada memperkukuh sinergi antara pelbagai pihak yang membentuk ekosistem teknologi Malaysia.

“Menyokong pencipta tempatan dalam arena sains, teknologi dan inovasi akan merangsang lebih banyak penciptaan pekerjaan dan nilai dan meningkatkan daya saing kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang kemuncak itu yang akan diadakan di Connexion Conference & Event Centre, mengumpul inovator, penyelidik, pelabur dan peneraju industri serta menawarkan mereka peluang untuk terlibat dalam dialog, selain membina kerjasama bersinergi dengan 60 pempamer untuk mempamerkan produk dan ciptaan mereka, selain dijangka dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

“Sidang kemuncak tersebut turut berperanan sebagai platform bagi mempamerkan dan meraikan penyelidikan dan pembangunan yang berjaya dikomersialkan dan barangan serta perkhidmatan inovatif oleh industri tempatan, institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan,” katanya.

Aminuddin berkata produk dan perkhidmatan tempatan yang dipamerkan telah diuji dalam persekitaran sebenar dan sedia untuk dipasarkan.

MCY diperkenalkan pada 2016 sebagai platform meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan potensi inovasi tempatan yang berpotensi untuk dikomersilkan dan bertujuan merangsang hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R,D&I) daripada universiti, institusi, agensi penyelidik tempatan sebagai penjana kekayaan menerusi proses pengkomersilan.

Menurut kenyataan itu, bermula 2016 hingga 2021, 49 produk berjaya ke pasaran antarabangsa daripada 434 produk, teknologi dan perkhidmatan R,D&I tempatan yang dikomersilkan dalam tempoh itu dengan nilai jualan RM476 juta.

Antara produk yang berjaya di MCY termasuk alat pengesan urat tanpa menyentuh kulit pesakit, kit pertanian bandar pintar, alat diagnos penyakit berjangkit, sistem evakuasi kecemasan dan sistem digital dibangunkan untuk penyelamat memantau fisiologi mereka ketika operasi menyelamat.

Menurut kenyataan itu, tahun lepas, lebih RM50 juta dalam bentuk nilai dijana di sidang kemuncak itu daripada memorandum dan perjanjian persefahaman melibatkan produk, teknologi dan perkhidmatan yang dikomersilkan.

Menurut kenyataan itu, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan menyokong pemain tempatan dalam usaha pengantarabangsaan mereka, justeru mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau, menarik dan mengembangkan perusahaan inovatif serta membangunkan set-set kemahiran yang relevan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar berkata objektif utama Sidang Kemuncak MCY juga selaras dengan agenda nasional dan inisiatif MRANTI, yang bertujuan mempromosi kelestarian pengkomersialan menerusi tiga strategi utama.

Strategi tersebut adalah membentuk kolaborasi yang strategik dan kuat, memecutkan inovasi ke pasaran dan membina platform R&D dan pengkomersialan harta intelek yang kukuh.

Tarikan lain di acara itu termasuk padanan perniagaan dan sesi bimbingan-mentor untuk membina kolaborasi antara industri, akademia dan institut penyelidikan.

Maklumat lanjut Sidang Kemuncak MCY 2023 boleh didapati di https://mcyportal.mosti.gov.my/mcysummit2023.

– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas