Selebriti

Shiha Zikir harap lagu Irama ulangi kejayaan AEWO

- Diterbit 17 September 2021 4:26 AM MYT

PENYANYI Shiha Zikir,33, berharap lagu terbaharunya yang berjudul Irama dapat mengulangi kejayaan lagu AEWO yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pada Julai lalu, Shiha menerima trofi Pop Asia Terbaik dalam acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat, menerusi lagu AEWO.

“Bercakap tentang harapan, sudah tentu setiap apa yang dihasilkan pastinya saya mengharapkan sambutan bukan sahaja dalam negara malah luar negara juga.

“Saya berharap lagu Irama dapat mengulangi kejayaan lagu AEWO, di mana saya berpuas hati apabila usaha komposer dan label saya sendiri akhirnya diiktiraf.

“Bagi saya kejayaan itu bukan sahaja terletak kepada lagu yang dibawakan, tetapi orang sudi dengar lagu itu pun sudah satu kejayaan buat saya. Bukan senang kita nak bagi orang dengar dan sukakan lagu tu,” katanya kepada WILAYAHKU.

Lagu Irama ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini adalah hasil kolaborasi Dua label iaitu Todak Music dan Alternate Records & Talent.

Menurut Shiha, proses menghasilkan sesebuah lagu memerlukan pengorbanan dan modal.

“Kenapa saya sangat menghargai usaha di sebalik sesebuah lagu? Ini kerana hendak menyiapkan lagu itu bukanlah proses yang mudah.

“Selain modalnya yang bukan kecil, banyak perkara-perkara lain berkaitan yang harus dibuat dalam menghasilkan sesebuah lagu.

“Jadi apabila orang dengar lagu Irama ini, saya rasa penat lelah dan pengorbanan yang dilakukan itu ‘berbayar’. Kepuasan yang tak dapat digambarkan.

“Apatah lagi kalau ada pihak menghargai atau mengiktiraf lagu yang dihasilkan, itu adalah extra point buat saya dan juga team.

“Kejayaan lagu AEWO sedikit sebanyak menyuntik semangat saya dan pasukan untuk terus lakukan yang terbaik. Doakan ya!” ujar Shiha lagi.

Shiha juga menjelaskan, pelancaran lagu Irama dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah selari dengan niatnya yang mahu menyebarkan aura positif dalam kalangan masyarakat.

“Apabila lancar lagu dalam musim PKP, untuk lagu Irama ni saya tak letak harapan tinggi.

“Namun, saya sangat berpuas hati kerana tujuan lagu ini dilancarkan adalah untuk menyebarkan aura positif dalam musim pandemik ini. Disebabkan itulah saya muncul dengan lagu rancak.

“Kalau nak tahu, saya juga seorang yang sensitif memikirkan keadaan kes COVID-19 yang masih banyak.

“Apa-apa pun kita tak boleh terus bersikap negatif. Sesiapa yang sentiasa ikut instagram saya pasti tahu saya seorang yang sensitif namun sentiasa berusaha memberikan semangat positif kepada orang lain.

“Begitulah juga lagu Irama yang antara motifnya adalah membawa aura positif kepada semua pendengar.

“Saya bersyukur stesen televisyen dan radio serta teman-teman media banyak membantu saya mempromosi lagu ini,” katanya lagi yang terharu apabila ramai yang menyertai Irama Dance Challenge.

Lagu Irama boleh distrim melalui semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer, YouTube Music dan sebagainya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas