Atlet Wilayah

Sharul tamat kemarau 17 tahun negara, fokus buru mata ke Olimpik 2024

AKSI Sharul ketika Asian Games Hangzhou 2022 pada September lalu
- Diterbit 15 Disember 2023 10:10 AM MYT

LEBIH 13 tahun berkecimpung dalam arena sukan gimnastik artistik menjadikan atlet negara, Muhammad Sharul Aimy Kamarul, semakin matang dalam menentukan arah tuju kejayaannya.

Berjaya meraih gangsa dalam acara melombol di Hangzhou pada September lalu menjadi detik bersejarah apabila dia berjaya menamatkan penantian 17 tahun skuad gimnastik untuk memenangi pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir dilakukan Ng Shu Wai yang merangkul perak di Doha 2006 dalam acara sama.

Bercerita lanjut tentang perkembangan terbaharu, atlet berusia 22 tahun ini memaklumkan kini dirinya mengalihkan tumpuan untuk memburu mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet dari Terengganu itu juga berharap dapat mencari penaja bagi menyokongnya merealisasikan impian ke Olimpik termasuk perancangan mengadakan latihan di luar negara sebelum menyertai empat Piala Dunia Gimnastik Artistik di Kaherah (Mesir), Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan).

“Saya memang tiada cuti selepas Sukan Asia dan terus fokus untuk latihan Piala Dunia tahun depan. Kejohanan itu sangat penting sebab ia merupakan peluang terakhir untuk saya layak ke Sukan Olimpik dan jika terlepas saya terpaksa tunggu edisi seterusnya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam pada itu, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini memberitahu dia menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang jurulatih gimnastik satu hari nanti.
“Impian itu telah lama disimpan sejak kecil lagi. Saya sendiri tak tahu sampai bila saya akan bergelar atlet gimnastik. Tapi, seandainya satu hari nanti khidmat sebagai atlet tidak lagi diperlukan, saya ingin membantu pelapis baharu dalam sukan ini,” ujar anak ketiga daripada enam orang adik-beradik ini.

Pernah muncul sebagai kameo dalam sebuah drama adaptasi Korea, atlet ini tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk bergelar pelakon.

“Ibaratnya kalau ada peluang di depan mata dan sesuai dengan jadual, saya tidak menolak kemungkinan untuk terjun sepenuhnya dalam dunia seni.

“Sebelum ini saya pernah mencabar diri dengan menerima tawaran berlakon walau bagaimanapun saya akui ia bukan mudah. Biarpun ketika itu, babak yang saya lakonkan sedikit tetapi perlu mengambil masa dua hari,” ujarnya fokus utamanya adalah bidang sukan. – WILAYAHKU

PENCAPAIAN SHARUL AIMY:

2023 – SEA Games – Tempat ketiga
2022 – Asian Games Hangzhou – Tempat ketiga
2021 – Pharaoh’s Cup Egypt – Tempat kedua

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas