Berita

SHARNAAZ, NABILA Lega Temui Kata Sepakat

SHARNAAZ dan Nabila ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, selepas prosiding mahkamah.
- Diterbit 17 September 2020 5:16 AM MYT

PELAKON popular Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya Noor Nabila Mohd. Noor akhirnya menemui jalan damai apabila kedua-duanya bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai dalam satu perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini. 

Tuntutan yang dimeterai melalui satu surat yang ditandatangani kedua-dua belah pihak pada pagi ini adalah membabitkan tuntutan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz yang di bacakan dihadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar. 

Dalam prosiding itu peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Noor Nabila, 36, selaku plaintif telah mengemukakan bahawa pihak defendan iaitu Sharnaaz , 35, telah bersetuju untuk memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan. 

“Selain itu pihak Sharnaaz  juga bersetuju untuk memberi nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan termasuk dibenarkan berjumpa anak mereka selain penarikan balik permohonan nusyuz yang difailkan olehnya. 

“Nabila juga turut bersetuju mengenepikan tuntutan mutaah melainkan sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dipindah milik kepadanya,” katanya. 

Selain itu, hak penjagaan anak turut diberikan kepada  Nabila  dan tuntuan nusyuz dibatalkan.

Pada masa peguam Ummi Kartini Abd. Latif yang mewakili Sharnaaz mengesahkan dan bersetuju dengan terma-terma dikemukakan dan telah dipersetujui. 

Selepas terma-terma itu dibacakan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi bertanyakan kepada Sharnaaz dan Noor Nabila adakah mereka bersetuju dengan perjanjian tersebut kedua-duanya bersetuju dan menerimanya sukarela termasuk tiada paksaan daripada mana-mana pihak. 

Sementara itu Noor Nabila ketika ditemui selepas prosiding itu melahirkan rasa lega kerana dia dan Sharnaaz tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

“Lega Alhamdullilah semuanya selesai.. hari ini adalah hari saya datang ke mahkamah dan segalanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. 

Sharnaaz pula ketika ditemui berkata dia bersyukur kerana kes akhirnya selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan bersepakat menyelesaikan kes. 

“Saya dan Nabila, keutamaan kami adalah Jebat. Walaupun kami tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami isteri, tapi kami masih berkawan. 

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan bercerai pada 9 Julai lalu melalui hakam. 

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

Sebelum ini penceraian rumah tangga mereka dilanda kontroversi apabila mereka sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas