Berita

Shalin bersyukur ke Sukan SEA Manila 2019

SHALIN Zulkifli.
- Diterbit 7 November 2019 6:27 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel M.N

KUALA LUMPUR – Ratu boling negara, Shalin Zulkifli, 41, bersyukur turut tersenarai dalam skuad tenpin boling negara ke Sukan SEA Filipina 2019 yang akan berlangsung pada November ini di Filipina.

“Alhamdulillah saya tidak jangkakannya kerana ranking saya rendah namun akan cuba buat yang terbaik di sana nanti. Saya perlu dapat­kan tiga lagi pingat emas tetapi ia bukan suatu yang mudah kerana kejohanan agak kurang,” ujarnya.

Penyertaan tersebut sekali gus menyaksikan Shalin berpeluang mencabar rekod pingat emas Sukan SEA diperoleh atlet Malaysia yang dipegang oleh Nurul Huda Abdullah (renang) yang juga me­rupakan Timbalan Chef de Mission kontigen negara ke Sukan SEA Filipina 2019.

Terbaru Shalin baru sahaja pulang dari Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 yang berlangsung di Salmiya, Kuwait, 19 hingga 30 Oktober 2019 yang lalu.

Pada kejohanan tersebut, aksi luar biasa dipamerkan oleh skuad Tenpin Boling negara apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Tenpin Boling Asia ke 25. Kejayaan tersebut merupakan rekod terbaik skuad kebangsaan dalam kejohanan asia.

Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan dengan enam emas, satu perak dan empat gangsa sekaligus memperbaiki pungutan pingat dua tahun lalu sebanyak tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Tempat kedua bagi kejohanan tersebut dimenangi oleh pasukan Korea Selatand dengan tiga emas, empat perak dan empat gangsa dan diikuti pasukan China ditempat ketiga.

Terdahulu, pingat emas skuad boling negara disumbangkan oleh ratu Boling negara, Shalin Zulkifli (Women’s Single), Timmy Tan (Men’s Single), Shalin Zulkifli/ Sin Li Jane/ Esther Cheah (Women’s Trio), Rafiq Ismail/ Syafiq Ridhwan/ Ahmad Muaz (Men’s Trio), Timmy Tan (Men’s All Events) dan Esther Cheah (Women’s Master).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas