Berita

Selesa di posisi penyerang

NUR Amisya.
- Diterbit 7 November 2019 6:19 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

Pendedahan awal tentang sukan bola jaring sewaktu berada di sekolah rendah suatu ketika dahulu sedikit sebanyak berjaya menyuntik semangat buat Nur Amisya Khairud Din, 20, untuk bergelar pemain kebangsaan.

Kini setelah hampir 10 tahun berlalu, atlet yang berasal dari Kuala Lumpur ini semakin menyerlah dalam sukan tersebut dan yang pasti berpeluang menyertai skuad kebangsaan untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

Pernah menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Bostwana, Afrika, dua tahun lalu, atlet posisi penyerang yang mesra dengan panggilan Amisya ini menanam cita-cita untuk menempa kejayaan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan Dunia pula.

“Dari kecil lagi saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk bergelar atlet bola jaring. Alhamdulillah ternyata perjalanan dalam dunia sukan ini mudah. Jadi saya tidak mahu cepat berada di zon selesa selagi apa yang dihajati belum tercapai.

“Yang pasti setiap kali terpilih untuk tampil di pentas pertandingan, saya sebolehnya akan cuba untuk memastikan skuad bola jaring menempa kejayaan yang tersendiri. Dalam masa yang sama, ia adalah kemenangan buat diri sendiri,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang posisi penyerang, atlet yang menjadikan pemain New Zealand, Laura Langman sebagai idolanya kerana tahap kecergasan pemain itu yang tinggi, mengakui latihan yang kerap dan konsisten amat diperlukan untuk berjaya dalam sukan bola jaring.

“Ketangkasan yang tinggi dan faktor kemahiran ketika bermain berjaya diperolehi melalui kekerapan latihan yang dijalani. Namun sebagai pemain, perlu sentiasa fokus setiap kali ketika berada di gelanggang,” ujarnya yang berada di bawah program Sukan Malaysia (SUKMA).

Berkongsi cabaran yang perlu dihadapi dalam sukan bola jaring, Amisya berkata, jika prestasi cemerlang gagal ditonjolkan maka dia akan jauh ketinggalan kerana persaingan atlet junior dan senior begitu hebat sekali.

Sempat berkongsi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan, dia yang mula terlibat secara serius dalam sukan pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ketika berumur 12 tahun menyifatkan kejuaraan pada Sukan Remaja Asia 2019 yang berlangsung di Kashima, Jepun merupakan suatu yang indah.

“Skuad Malaysia berjaya pulang dengan kejuaraan biarpun ketika itu harapan untuk menang begitu tipis sekali. Itu yang membuatkan saya terharu lebih-lebih lagi mengenangkan semangat juang pasukan yang tinggi,” ujarnya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, Amisya yang baru sahaja beraksi pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41 berkata, dia seboleh-bolehnya ingin menyumbang bakti dalam arena sukan ini dalam jangka masa yang lama lagi.

Kursus kejurulatihan

Sering berdepan dengan kekangan masa, bekas pelajar Sekolah Sukan Titiwangsa, Kuala Lumpur ini bagaimanapun tidak menjadikan hal tersebut sebagai alasan buatnya untuk mengabaikan keluarga tersayang.

“Ini adalah pilihan saya maka saya yang perlu mencari waktu sesuai buat mereka. Jika ada masa terluang, sudah semestinya keluarga adalah keutamaan. Biarpun hanya beberapa jam sahaja bersama, namun kualiti masa itu lebih penting.

“Mujurlah mereka memberi restu dengan pilihan ini kerana itu jugalah yang membuatkan saya berjaya sampai ke tahap seperti ini. Jika diikutkan sebelum memilih bola jaring, saya lebih aktif dalam sukan olahraga,” ujar anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini.

Bercerita lanjut tentang perancangan masa hadapannya, dia yang juga merupakan kaki­tangan perbankan berhasrat untuk mengikuti kursus kejurulatihan untuk bergelar jurulatih yang berwibawa pada masa hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas