Berita

Shahidan harap KL City pertahan Piala Malaysia

SHAHIDAN (kanan) menyampaikan replika cek kepada pasukan KL City sejurus perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 17 Februari 2022 6:26 PM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berharap pasukan Kuala Lumpur City FC mempertahankan kejuaran Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

Beliau meletakkan sasaran agar pasukan itu dapat menjulang piala berprestij tersebut sekali lagi serta tidak melupakan perlawanan Liga Super yang akan berlangsung tahun ini.

“KL City perlu berkerja keras untuk memastikan kemenangan dapat dipertahankan bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

“Perlawanan Liga Super ada sasarannya tetapi matlamat utama adalah mengekalkan Piala Malaysia, kalau benar kita ingin menjuarai semua piala yang dipertandingkan,” katanya selepas menyaksikan perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan di antara KL City FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Dalam pada itu, sempena kemenangan menjuarai Piala Malaysia tahun lalu, skuad bimbingan jurulatih Bojan Hodak tersebut turut menerima insentif bernilai RM1.5 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas