PENYANYI Ali XPDC, 53, yang terpaksa ditidurkan semalam di Hospital Ampang selepas mengalami kesukaran bernafas, kini beransur baik dan akan disedarkan semula.
Menurut Facebook Sahabat XPDC yang mengemaskini status kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, keadaan Ali semakin baik namun Masih ditidurkan.
“Pagi tadi pakar dah check, Alhamdulillah.. keadaan dia okay. Tiada darah beku dalam kepala, paru-paru pun clear tak ada jangkitan kuman.
“Cuma pakar nak further check jantung dia. Insya-Allah siang ni Ali kemungkinan besar dia akan disedarkan semula,” tulisnya.
Semalam keadaan Ali amat membimbangkan sehingga orang ramai diminta melakukan solat hajat dan membaca Yassin.
“Keadaan Ali kalau ikutkan semakin sihat dan mula diajar buat aktiviti ringan dan dah boleh bercakap walaupun keadaan separuh badan belah kanan masih lemah.
“Tetapi petang tadi (semalam) Ali mengalami sesak nafas dan hospital telah ‘tidurkan’ sementara buat masa ini. Walaupun pernafasan Ali sudah kembali normal tapi dia masih lagi di ditidurkan dan dipantau,” tulisnya.
Mereka turut memaklumkan Ali tidak dijangkiti COVID-19, cuma sebelum ini dia diletakkan di wad saringan COVID-19.
Terdahulu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang, Jumaat lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.
Mereka berlatih sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting pada 12 Mac ini.
Sumber: Harian Metro