Berita

PCR – Lapan laluan berbasikal secara selamat di Putrajaya

- Diterbit 10 Mac 2022 12:22 PM MYT

PUTRAJAYA satu lokasi paling sinonim di kalangan peminat sukan basikal. Selain untuk kesihatan tubuh, berbasikal di Putrajaya dapat menenangkan fikiran dengan melihat keindahan panoramanya.

Namun tahap keselamatan kepada penunggang basikal harus sentiasa dititik beratkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menyedari hakitat itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) tampil memperkenalkan laluan basikal lebih selamat serta lengkap dengan keperluan penunggang.

Inisiatif dikenali sebagai Putrajaya Cycling Route (PCR) itu membolehkan para penunggang boleh memilih beberapa laluan melalui sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Rekreasi dan Operasi, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Asmah Yahaya berkata, PCR merupakan inisiatif di bawah Blueprint Cycling Putrajaya dalam menjadikannya bandar rekreasi dan pelancongan.

Ujarnya, objektif utama PCR adalah untuk menyediakan peta laluan basikal sebagai panduan kepada penunggang dan penggemar sukan berbasikal terutama pelancong di Putrajaya.

Jelasnya, ia juga selaras menjadikan Putrajaya sebagai Bikeable City iaitu inisiatif ke arah Putrajaya Green City 2025.

“Kini, penunggang basikal boleh merancang dan membuat pilihan berkaitan laluan bersesuaian bagi menjalankan aktiviti berbasikal yang sangat popular di bandar ini.

“Penyediaan PCR ini meletakkan Putrajaya setanding bandar raya terkenal lain seperti Melbourne (Australia), Amsterdam (Belanda) dan Taipei (Taiwan),” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Projek PCR mendapat kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air sebagai penyelaras projek Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities.

Fasa 1 pembangunan PCR melibatkan lapan laluan merangkumi jarak keseluruhan 180 kilometer (km) dengan Anjung Floria di Presint 4 dijadikan lokasi hentian permulaan dan penamat.

Kelapan-lapan laluan berkenaan adalah Persisiran dengan jarak 10.65km, Bougainvillea (14.04km), Patriot 8 laluan basikal untuk keselamatan penunggang (17.21km), Botani (22km), Empangan (30km), Hujan Hujan (22km), Wetland (28.30km) dan Damar (35.80km).

“Setiap laluan adalah berbeza mengikut tema, terutamanya dari aspek peringkat umur dan jenis basikal digunakan.

Misalnya, laluan Wetland dikhususkan bagi basikal mendaki sahaja,” katanya. Ujar Asmah, pihaknya turut menyediakan enam hentian di sepanjang PCR dilengkapi kemudahan asas diperlukan penunggang basikal.

Antara kemudahan itu adalah tempat pembaikan dan pam basikal, tandas awam, water dispenser, medan selera, surau, parkir, tandas dan tempat rehat.

“Kami menandakan 25 check point terbaik bagi penunggang basikal bergambar berlatarbelakangkan monumen ikonik di Putrajaya,” katanya.

Menariknya, PPj turut membangunkan aplikasi MyPutrajaya Bike bagi membantu penunggang basikal membuat pilihan laluan.

Tegasnya, pengunjung perlu mengimbas kod QR laluan dipilih bagi mendapatkan jarak laluan, tempoh perjalanan, jenis basikal bersesuaian serta senarai hentian dan check point.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas