Berita

Seksyen 11 lebuhraya WCE bakal beroperasi suku pertama 2024

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 17 Januari 2024 3:09 PM MYT

PROJEK Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Seksyen 11 melibatkan persimpangan Beruas dan persimpangan Taiping Selatan dijangka beroperasi pada suku pertama tahun ini, selewat-lewatnya pada April.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata pihaknya berusaha untuk membolehkan jajaran itu beroperasi sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, namun beliau lebih yakin ia boleh beroperasi sebelum Aidilfitri.

“Ada usaha ke arah itu, kita cuba tetapi kita tak boleh kata sebelum raya Cina. Sasaran itu memang ada untuk keperluan rakyat mengelakkan kesesakan tetapi ia masih subjektif sebab faktor keselamatan menjadi keutamaan kami.

“Hari ini pun sudah 17 Jan, agak sukarlah (beroperasi sebelum Tahun Baharu Cina). Kita cuba kalau boleh sebelum raya Cina, kalau tidakpun suku tahun pertama tetapi saya tidak rasa sampai April, saya rasa yang itu (sebelum Aidilfitri) kita memang ada keyakinan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan EXCO kerajaan negeri meninjau dan diberi taklimat berkenaan pelaksanaan jajaran projek WCE itu.

Sementara itu, Nadzrol Fadzilah berkata plaza tol di jajaran itu juga kini hampir siap dan perlu melalui beberapa proses, selain memaklumkan kebiasaannya plaza tol yang dibuka secara percuma untuk pengguna berdasarkan peristiwa sebelum ini, namun tidak dapat mengesahkan perkara sama dilakukan kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata pembinaan jajaran itu telah siap lebih 98 peratus pada 31 Dis lepas.

“Sekarang ini kita masuk pada tahap pemeriksaan, pemantauan dan pensijilan daripada pihak LLM. Jadi fasa ini terpaksa dilalui sebelum lebuh raya ini dapat dibuka, kita siapkan pembinaan pada 31 Dis, lepas proses pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.

Selain itu, Saarani berkata projek WCE sangat penting kerana bakal menjadi laluan strategik bagi memperluas jaringan pengangkutan, bukan sahaja antara pekan dan daerah, tetapi keterhubungan Perak dengan pusat pertumbuhan ekonomi, bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.

“Laluan ini juga penting kerana menjadi pemangkin kepada perancangan Perak dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat selain mengubah landskap pelancongan Perak dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik seiring kempen Tahun Melawat Perak 2024.

“Apabila ia dibuka kelak, pengguna jalan raya akan mempunyai pilihan laluan alternatif kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pantai barat di Perak seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping,” katanya.

Saarani berkata pihaknya hari ini diberikan taklimat serta penerangan mengenai status semasa projek itu yang dilaksanakan pihak West Coast Expressway Sdn Bhd melalui inisiatif penswastaan yang menghubungkan Taiping dan Banting, Selangor dengan panjang keseluruhan 233 kilometer (km).

Sehingga kini, lima daripada keseluruhan 11 seksyen pembinaan lebuh raya itu telah dibuka kepada trafik iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) di Selangor manakala Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas) di Perak.

Seksyen 11 (Beruas–Taiping Selatan) yang panjangnya 35.5 km merupakan pelengkap kepada jajaran Lebuhraya WCE di bahagian laluan Perak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas