Selebriti

Sepentas dengan legenda dunia AR Rahman, impian Siti Nurhaliza jadi kenyataan

- Diterbit 29 Januari 2023 2:33 AM MYT

“MALAM sejuta kenangan, sebagai penyanyi, saya ada impian dan angan-angan namun saya jadikan sebagai harapan. Malam ini, (malam tadi) harapan saya ingin sepentas dengan idola dan legenda muzik dari India AR Rahman telah tercapai. Ini merupakan satu penghormatan buat saya,” ujar penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berkongsi pengalaman mengadakan persembahan sepentas dengan pemuzik legenda, AR Rahman.

Siti yang mempersembahkan lagu klasik Tamil berjudul Munbe Vaa itu mendapat tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’ hampir 70,000 penonton di Konsert AR Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Bukan mudah mendapat peluang ini, Siti menganggap ia satu permulaan yang baik buatnya untuk tahun ini.

“Berdebar tetapi dalam masa yang sama teruja, gembira, terharu dan bahagia. Melangkah tahun ke-27 saya di dalam industri muzik, membuka tirai tahun 2023, saya mulakan lembaran portfolio karier seni saya dengan catatan peribadi untuk impian yang menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada seluruh penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah memberikan saya semangat dari mula menyanyi hingga ke akhir lagu Munbe Vaa. Anda semua memang best,” tulisnya di Instagram miliknya.

Persembahan mega anjuran DMY Creation Sdn. Bhd. yang turut menampilkan ramai bintang handalan industri muzik India lain itu menjadi konsert berlangsung di tanah air dengan jumlah penonton terbesar di stadium ikonik tersebut pasca pandemik COVID-19 setakat ini.

Konsert A. R Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 mendapat sokongan hebat tidak berbelah bahagi daripada 14 negara termasuk Malaysia, India, Singapora, Dubai, Vietnam, Indonesia, United Kingdom, Thailand, Australia, Sri Lanka, Saudi Arabia dan beberapa negara lain lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas