Selebriti

“Semua ini fitnah, tidak benar” – Nora nafi paksa suami ceraikan madu

- Diterbit 5 Disember 2021 8:10 AM MYT

“Astagfirulllahalazim… Semua ini fitnah, tidak benar! Ini saja kenyataan daripada saya,” tegas penyanyi popular Datuk Nora ringkas ketika membalas kiriman teks menerusi WhatsApp.

Nora memberi kenyataan itu apabila dituduh kononnya merampas suami orang dan menyembunyikan tarikh sebenar pernikahan dengan Dr Rushdi Ramli yang dipercayai sudah hampir dua tahun.

Menurut Nora, kesemua yang dinyatakan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

Terdahulu, timbul desas desus tidak enak apabila ada seorang individu mendakwa Nora telah menyembunyikan fakta di sebalik pernikahannya dengan Dr Rushdi.

Malah individu terbabit juga mendakwa Nora memaksa suaminya itu untuk menceraikan isteri pertama dengan hanya menggunakan pen dan kertas.

“Nora bukan baru kahwin ya. Sudah dua tahun tapi katanya baru ‘dilamar’.

“Dia beritahu kepada umum kononnya baru dilamar apabila wajah suami baharunya itu kantoi dalam satu video percutian Nora ke Langkawi.

“Hebat Nora berjaya menipu satu Malaysia. Boleh tanya Nora sendiri, berani kerana benar,” dakwa pengguna laman sosial tersebut.

Baru-baru ini Nora mengumumkan telah bernikah dengan kawan baik arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dalam satu majlis tertutup.

Jelasnya, dia memohon maaf kerana tidak memberitahu secara terbuka mengenai ikatan tersebut.

Pada 1992, Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan Nawawi dan dikurniakan empat cahaya mata.

Walau bagaimanapun, komposer terkenal itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 di usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Nora sekali lagi diuji pada 13 Disember 2019 atas pemergian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas