Artikel

Sempena Sambutan Jubli Perak, MCMC sasar tanam 1,000 pokok hutan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berusaha menjaga kelestarian alam sekitar dengan menjadikan program tanaman pokok hutan sebagai agenda utama sekali gus mendukung aspirasi kerajaan yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.
- Diterbit 17 November 2023 1:25 AM MYT

MENGINJAK usia 25 tahun penubuhannya sebagai sebuah badan pengawal selia industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus cemerlang memikul tanggungjawab kepada masyarakat.

Sebagai organ terpenting dalam memastikan pemberdayaan setiap lapisan masyarakat mengenai teknologi maklumat, fungsi MCMC antara lain adalah untuk memastikan kesalinghubungan komuniti luar bandar terhadap digital.

Tidak sekadar itu, MCMC juga berperanan dalam menyebar luas apa jua kempen kesedaran yang berkait secara langsung dengan kehidupan masyarakat termasuk perihal penjagaan alam sekitar.

JAGA KELESTARIAN BUMI

UMUM mengetahui bahawa perubahan iklim telah mengakibatkan banyak kerosakan di muka bumi. Malah, punca utama yang menyebabkan lapisan ozon semakin menipis antaranya disebabkan oleh aktiviti pembalakan serta pencemaran udara dan alam sekitar yang tidak terkawal.

Natijah daripada kesan tersebut, ulang tahun ke-25 MCMC telah mengangkat tema sambutan iaitu Harmoni Digital, Simfoni Bumi, yang menekankan penggunaan digital dengan betul serta dalam masa sama menjaga kelesatarian bumi.

Sebagai simbolik kepada sambutan tersebut, MCMC menganjurkan Program Carbon Footprint En-Route to Nature yang turut menganjurkan aktiviti menanam pokok yang merupakan antara usaha melestarikan alam sekitar.

TEO Nie Ching (tengah) bersama warga kerja Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas merasmikan program ‘Carbon Footprint En-Route to Nature’ di Pusat Komuniti Cyberjaya baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang tertarik dan menyambut baik tema sambutan itu menyifatkan inisiatif MCMC dalam menganjurkan program penanaman pokok dan usaha murni ini diyakini dapat membantu meminimumkan kesan jejak karbon terhadap alam sekitar.

“Kerjasama strategik antara MCMC dengan MPS penting dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan di bawah Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025.

“Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor sahaja, sasarannya ialah untuk merealisasikan penanaman 26 juta pokok menjelang tahun 2026 melalui Kempen Penghijauan Selangor sebagai usaha untuk memastikan kehijauan negara terus terpelihara.

“Program ini jelas menunjukkan komitmen MCMC terhadap prinsip dan nilai konsep pengurusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menekankan keseimbangan antara kemajuan dan keharmonian dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Carbon Footprint En-Route to Nature di Pusat Komuniti Cyberjaya pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Beliau berkata antara inisiatif hijau yang sedang giat dijalankan iaitu Program Mobile E-Waste melalui KITAR anjuran MCMC yang mengumpul dan mengitar semula gajet-gajet lama untuk mencapai matlamat mengurangkan jejak karbon.

“Seperti yang kita sedia maklum, e-waste ini boleh mencemarkan alam sekitar dan membahayakan kesihatan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul,” katanya.

Katanya, biodiversiti ialah khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Justeru itu, semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu dalam memupuk budaya cintakan alam sekitar serta memelihara dan memulihara alam semula jadi untuk manfaat bersama.

Dalam sidang medianya, Nie Ching menyeru kepada orang ramai untuk menghantar gajet lama atau rosak ke pusat pengumpulan e-sisa di bawah pemantauan MCMC untuk dikitar semula atau dilupuskan dengan betul.

Dengan anggaran 364 juta e-sisa dihasilkan setiap tahun di negara ini, Nie Ching berkata Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui MCMC menggalakkan penggunaan Program KITAR, yang mengumpul dan mengitar semula gajet lama.

“Jumlah e-waste akan terus meningkat memandangkan setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya dua gajet seperti komputer riba dan telefon bimbit. Setiap e-waste yang dihantar ke MCMC misalnya akan dihantar kepada kontraktor pakar. Kami memastikan bahan yang mengandungi unsur yang boleh digunakan semula atau dilupuskan melalui prosedur dikendalikan dengan betul,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali Hanafiah dalam ucapannya berkata program tersebut melibatkan lebih 500 sukarelawan daripada warga kerja MCMC dan MPS yang menyaksikan sasaran sebanyak 1,000 pokok hutan ditanam.

Ujarnya, lebih bermakna sempena Sambutan Jubli Perak MCMC ini, 250 pokok telah dikhususkan untuk MCMC sebagai simbolik kepada 25 tahun usaha pengawalseliaan MCMC dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

“Ini adalah komitmen MCMC terhadap alam sekitar yang menunjukkan bahawa MCMC bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan digital, malah tidak pernah lupa terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Mohd Ali berkata penganjuran Program MCMC Carbon Footprint En-Route to Nature merupakan bukti terhadap usaha MCMC untuk mengurangkan jejak karbon dan mengimbangi impak alam sekitar daripada pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun.

“Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah penggunaan elektrik, pelepasan karbon oleh kenderaan, pelupusan sisa dan pencetakan kertas di mana jumlah keseluruhan jejak karbon adalah bersamaan dengan 40,524 pokok.

“MCMC juga akan terus komited menganjurkan pelbagai siri program jangkauan masyarakat dan pendidikan yang berpaksikan kelestarian alam sekitar. MCMC percaya, dengan mempergiatkan pelbagai program kesedaran, ia dapat memberi inspirasi kepada komuniti seterusnya memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas