Berita

Semat rasa bangga hidup dalam aman dan makmur

KIBARKAN Jalur Gemilang sebagai tanda kebanggaan kepada negara.
- Diterbit 25 Ogos 2023 4:30 AM MYT

PERPADUAN merupakan ­prasyarat bagi melahirkan sebuah ­negara yang aman damai serta makmur ­sekali gus mampu ­menjaga ­imej Malaysia sebagai sebuah ­negara berdaulat.

RAMLAH

Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata semangat ­perpaduan ini memerlukan kerjasama semua pihak di mana ia juga ­merupakan syarat untuk Malaysia muncul sebagai ­peneraju ekonomi Asia Tenggara seperti yang diharapkan.

“Perpaduan sangat penting ­kerana ia satu perkara yang dilihat orang ­luar sama ada pelabur atau masyarakat umum dunia sekali gus ­mereka dapat menilai kestabilan negara, keselamatan dan kemakmuran.

“Malaysia terkenal dengan imej berbilang kaum, bermaksud ­kita mempunyai satu negara bangsa yang dihuni oleh pelbagai bangsa atau kaum yang bukan baru sehari duduk dalam Malaysia tetapi sejak kita merdeka malah sebelum penjajahan British lagi.

Mengulas lanjut tentang ­tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, beliau berkata setiap orang mesti mempunyai satu ­kesedaran ­apabila bertekad seterusnya ­meletakkan dalam diri satu usaha untuk memenuhi harapan.

“Hari Kebangsaan adalah satu hari yang bermakna kerana kita berjaya melepaskan diri daripada ­penguasaan penjajah yang menguasai dan ­cuba mempengaruhi kita selain dapat melahirkan negara yang berdaulat dengan hala tuju yang gemilang.

“Jadi, dengan ­adanya hari yang bersejarah ­tersebut maka, kita ­dapat ­melahirkan suatu rupa bangsa yang ­baru, tidak lagi ­berdasarkan ­bangsa-bangsa yang ­terpisah tetapi berdasarkan kepada ­kaum-kaum yang bersatu dan bekerjasama menduduki satu struktur yang jelas iaitu sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka.

“Ia juga mempunyai ­kebangsaannya yang jelas, ­iaitu berkebangsaan Malaysia dalam sebuah negara ­dengan satu bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dengan satu pentadbiran kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua ­negara dan sebuah kerajaan yang ­dipilih oleh rakyat, sistem ­demokrasi berparlimen,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Ramlah turut berharap agar ­rakyat Malaysia sentiasa ­mengingati dan berbangga kerana Malaysia telah mempunyai suatu susunan ­pentadbiran yang sangat jelas.

“Hari Kebangsaan ini juga telah menunjukkan ­kebijaksanaan ­pemimpin dahulu semasa kita merdeka dalam membentuk negara Malaysia,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas