Berita

Selepas Keluar Hospital, Pelawak Kumin Meninggal Dunia

- Diterbit 3 September 2020 12:15 PM MYT

PELAWAK Kumin atau nama sebenar, Khuzami Ismail, 49, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Lembah Maju, Ampang, tengah hari tadi.

Menurut teman baik arwah Yank Kassim seperti yang dilaporkan oleh BH Online, isteri arwah yang pulang ke rumah dari kedai mendapati Kumin terbaring di lantai dengan wajah kebiru-biruan

“Setahu saya, arwah sudah sihat selepas dimasukkan ke hospital, akhir Julai lalu akibat sesak nafas, angin pasang dan air berlebihan dalam badan.

“Selain itu, arwah berhadapan masalah pergerakan badan yang terhad,” kata Yank kepada BH Online.

Namun, ketika ini, Yank belum dapat memastikan bila dan di mana jenazah Allahyarham akan dikebumikan.

Aktif sejak era 1990-an, Kumin dan teman baiknya, Allahyarham Bob Kuman pernah menubuhkan kumpulan duo dikenali sebagai KU2 yang cukup popular ketika itu.

Sepanjang bersama, KU2 menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).

Berbanding Allahyarham Kuman yang banyak berlakon, Kumin memberi fokus pada kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi.

Arwah dan isteri bagaimanapun tidak dikurniakan anak. – WILAYAHKU

Sumber: BH Online

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas