Artikel

Selamat maju jaya Shahidan, Annuar

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kanan) bersama Mantan Menteri WIlayah Tan Sri TPr Annuar Musa pada malam sambutan Kasih Merdeka @ Rumah Prihatin baru-baru ini.
- Diterbit 5 September 2021 12:00 AM MYT

BELUM terlambat mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Datuk Seri Shahidan Kassim ke kerusi Menteri Wilayah Persekutuan (WP), serta tahniah dan selamat jalan kepada mantan Menteri WP, Tan Sri TPr Annuar Musa yang bakal menempuh cabaran baharu sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Selamat bertugas dan selamat maju jaya kepada kedua-duanya. Adi percaya dengan pengalaman sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Besar Perlis, Shahidan mampu memacu kemajuan WP dan kesejahteraan warganya.

Kepada Annuar Musa, Adi optimis dengan pengalaman sebagai Menteri WP dan pengalaman lama dalam kabinet sebelum ini, akan menjadi menjadi tenaga penggerak melaksanakan tugas dalam potfolio baharunya. Pasti Shahidan dan Annuar mempunyai visi dan misi untuk memastikan kejayaan kementerian masing-masing, dan lebih penting memberi manfaat kepada rakyat jelata.

Dalam ruangan kali ini, izinkan Adi mencoret catatan mengenai Annuar Musa yang pada Adi telah mentadbir Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan baik dan komited. Ini sebagai coretan ‘selamat tinggal’ bagi mengimbau sumbangannya untuk kesejahteraan WP dan warganya.

Pelbagai perancangan beliau telah membuahkan hasil. Yang masih dalam perancangan atau pelaksanaan wajar diteruskan. Adi percaya Shahidan akan meneruskan kerja-kerja baik dan bermanfaat untuk WP ini, di samping memperkenal dan melaksanakan program-program baharu.

Beliau telah pun menyatakan akan meneruskan dasar-dasar sedia ada selepas majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Isnin lalu.

Banyak cetusan idea Annuar untuk kemakmuran . Antara yang utama ialah membantu warga WP yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 melalui program Inisiatif Wilayah Cakna dan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB). Juga menyediakan lebih 1,000 kios niaga di luar dan dalam bangunan dengan sewa berpatutan.

Ini merupakan usaha menjadikan perniagaan sebagai bidang baharu untuk mereka ceburi hingga mampu muncul menjadi peniaga atau penjaja berjaya demi kesinambungan hidup.

Malah peluang ini juga dibuka kepada siswazah yang telah tamat pengajian tetapi masih menganggur. Mereka boleh berniaga sementara menunggu peluang kerja lebih baik, atau terus sahaja komited menjadi peniaga berjaya. Adi melihat Annuar sangat prihatin dengan masalah penjaja.

Kerana itu beliau memberi lesen niaga kepada yang sudah bertahun-tahun memohon tetapi gagal, menyebabkan mereka beroperasi dalam keadaan takut diambil tindakan oleh penguatkuasa.

Malah beliau datang sendiri ke lapangan untuk memberi lesen kepada penerima. Sikap ini sangat dihargai oleh peniaga yang sebelumnya behadapan masalah red tape menyebabkan bertahun-tahun memohon tetapi gagal mendapat lesen.

Annuar juga menyantuni gelandangan dan mentransformasi  mereka menjadi insan berdikari, tidak berkeliaran ke sana sini dan terus menerus hidup meminta- minta untuk sesuap nasi. Mereka diberi latihan berniaga. Yang mempunyai masalah dadah dihantar untuk pemulihan terlebih dahulu. Kelompok ini diberi gelaran Hijrah Warrior atau Pahlawan Hijrah kerana kesungguhan mereka berhijrah daripada kehidupan yang mundur dan mengharap belas ihsan orang kepada kehidupan yang lebih maju dan dinamik di atas kaki sendiri.

Golongan berpendapatan rendah atau B40 juga tidak lupakan. Annuar sedar dalam tempias Covid-19 dan ada di antaranya terputus sumber memerlukan bantuan demi meringankan beban hidup. Bantuan bakul makanan diberi kepada golongan sasar yang terkesan, selain bantuan kewangan. Penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) pula diberi penangguhan bayaran sewa, juga diskaun sewa.

Untuk orang awam juga diberi kelonggaran berbentuk penangguhan serta diskaun bagi bayaran cukai taksiran. Ini untuk membolehkan wang yang sepatutnya digunakan membayar cukai digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak.Dalam pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Annuar memainkan peranan penting memastikan kelancaran program berkenaan bagi membolehkan seramai mungkin warga WP divaksin dalam tempuh waktu secepat mungkin.

Untuk itu juga disediakan kemudahan menjurus kepada matlamat ini seperti RumahPrihatin@GrandSeasons yang menyediakan pelbagai perkhidmatan berhubung kait Covid-19 termasuk vaksinasi, rawatan serta kemudahan kuarantin.

Malah empat buah hotel mewah lain disediakan bagi lokasi kuarantin penduduk berpendapatan rendah seperti penghuni PPR dan Hotel berkenaan ialah Royale Chulan, Jalan Conlay; Pusat Belia Antarabangsa di Cheras; Hotel Tamu Kampung Baru dan Hotel Travelodge City Centre di Jalan Hang Kasturi. Ini untuk membolehkan mereka menjalani kuarantin kendiri dalam suasana selesa dan dipantau, berbanding dengan rumah yang sempit serta ramai penghuni sehingga sukar mengelakkan bergaul dengan ahli keluarga lain.

Komitmen terhadap program vaksinasi membolehkan WP Labuan mencapai imuniti kelompok pertama di negara ini. WP Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah melepasi paras 80 peratus penduduk memperoleh dos kedua. Sasaran imuniti kelompok bagi WP pada bulan Ogos berjaya dicapai. Malah sebelum pun matlamat ini dicapai, Annuar telah menggerakkan satu pelan cadangan bagi menyediakan perancangan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi WP sebagai persediaan beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 dan seterusnya. Pelan ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pemulihan Wilayah Persekutuan (JPWP) sebagai rangka strategik pembangunan ketiga-tiga Ini sejajar dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi sosial dan budaya di WP lanjutan pencapaian imuniti kelompok. Usaha ini dalam pelaksanaan.

Juga masih dalam proses ialah rancangan pembangunan Kampung Baru agar kawasan penempatan orang Melayu di tengah bandar itu maju seiring dengan pembangunan rancak di sekeliling. Begitu juga Perkampungan Al-Quran di Putrajaya yang sedang dalam pelaksanaan. Adi percaya perancangan yang belum menjadi kenyataan ini akan diteruskan oleh Shahidan. Usaha yang baik ini memang wajar dilaksanakan sehingga berjaya dan hasilnya dapat dinikmati oleh semua, khususnya warga WP. Shahidan mungkin akan mengambil peluang meninjau kembali keberkesanan program-program yang dilaksanakan sebelum ini dan menambah baik mana yang perlu bagi menghasilkan kejayaan yang lebih jitu untuk kesejahteraan WP.

Adi percaya Shahidan memiliki komitmen ini. – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas