Artikel

Tiada cadangan SOP khusus – Shahidan

SHAHIDAN (kanan) bersama Jalaluddin (tengah) dan Rosida ketika melawat CCMC di IDB, baru-baru ini.
- Diterbit 10 September 2021 7:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) tidak bercadang untuk mengadakan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya ekoran pembukaan sektor ekonomi dan sektor pelancongan di ibu kota.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim berkata, pihaknya akan terus menggunakan SOP yang sedia bagi memudahkan pemantauan terhadap situasi semasa di kedua-dua Wilayah Persekutuan.

“Kawasan pelancongan utama di negara ini adalah di Kuala Lumpur jadi kita hendak lihat supaya benda ini diberi perhatian. Fasa 1 ada garis panduan dan Fasa 2 juga ada garis panduan, kita akan ikut yang itu.

“Kerajaan telah umumkan pembukaan aktiviti ekonomi di kawasan pelancongan di Langkawi, jadi Kuala Lumpur ini bukan sahaja kawasan aktiviti ekonomi, di samping itu, ia juga adalah kawasan pelancongan dan aktiviti ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 (CCMC) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) pada Jumaat.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azizah Mohamed Said.

Beliau yang juga Pengerusi CCMC berkata, pada ketika ini angka dari KKM telah menunjukkan penduduk di Kuala Lumpur telah mencapai tahap 200 peratus untuk dos pertama melalui program vaksinasi COVID-19.

“Saya hendak tengok apakah sebenarnya warga Wilayah Persekutuan ini telah mendapat vaksin 100 peratus atau tidak.

“Kita akan membuat pusingan kedua vaksin bergerak dengan kerjasama kementerian yang lain untuk pergi terus ke kawasan-kawasan di Kuala Lumpur dan kita hendak pasti supaya warga tempatan telah divaksin atau tidak,” katanya.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga Khamis, ketiga-ketiga Wilayah Persekutuan termasuk Labuan telah berjaya melepasi sasaran 80 peratus penduduk lengkap divaksinasi.

Bagi Kuala Lumpur, sebanyak 2.7 juta individu menerima suntikan dos pertama vaksin dan bagi individu lengkap suntikan dua dos adalah 2.1 juta.

Putrajaya pula merekodkan 126,656 individu (dos pertama) dan 117, 094 individu (dos kedua) manakala Labuan yang kini beralih ke Fasa Empat PPN mencatatkan 70, 313 individu (dos pertama) dan 67,818 individu (dos kedua). – WILAYAHKU – 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas