HARI ini Jumaat 1 April 2022. Bukan April Fool! Sebaliknya hari ini adalah detik bersejarah bagi negara kerana mula memasuki era endemik setelah dua tahun dalam era pandemik COVID-19.
Apa beza pandemik dengan endemik? Biar Adi jelaskan sedikit. Pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu negara, daerah atau komuniti sematamata.
Dalam pandemik, penularan wabak merebak secara meluas sehingga sukar dikawal serta mampu membunuh ramai orang dalam waktu singkat. Gejala inilah yang menimpa negara kita pada peringkat awal COVID-19 menyerang dengan angka jangkitan dan kematian yang tinggi.
Pandemik mengancam kawasan lebih luas seperti sebuah negara, benua, malah seluruh dunia jika dibiarkan melarat tanpa usaha serius untuk mengekang. Seperti kita maklum, COVID-19 yang menyerang negara ini asalnya dari China dan diklasifikasikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Endemik pula merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu, atau negara, serta sentiasa ada bersama-sama dalam kehidupan kita sehari-hari dalam keadaan terkawal. Dengan kata mudah, kita hidup bersamanya.
Virus masih wujud tetapi merebak pada tahap lebih rendah. Juga terdapat kemungkinan berlaku peningkatan penularan secara bermusim, dan wabak juga masih boleh berlaku.
Penyakit fasa endemik memerlukan program kawalan penyakit yang mantap untuk mengurangkan jangkitan, mengurangkan morbiditi dan mengurangkan kematian. Dalam konteks negara ini contoh penyakit endemik ialah HIV/ Aids, denggi, selesema, tibi dan sebagainya.
Justeru bagi Adi dan kita semua, hari ini begitu bermakna kerana negara bagai ‘terlepas’ dari ikatan kehidupan penuh katakutan. Lebih dua tahun beban ini dipikul di mana Covid-19 perlu diawasi jangan sampai merebak, menjangkiti dan dijangkiti. Semua usaha ditumpu untuk mengekang penularan.
Lantaran itu negara melaksanakan kaedah pencegahan ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh yang lama. prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal dikuat kuasa dan mesti dipatuhi.
Sedikit demi sedikit kelonggaran diberi. Rentas negeri dibenarkan, sektor ekonomi kembali dibuka. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memberi jaminan tidak akan ada lagi pelaksanaan PKP. Sektor ekonomi akan dibuka secara meluas.
Ini dilakukan setelah COVID-19 semakin terkawal. Walaupun masih ada jangkitan, kebanyakannya pada tahap ringan (mild), iaitu satu dan dua sahaja. Negara tidak dapat terus hidup dalam kebimbangan dan sudah sampai masanya berlaku anjakan agar negara dan rakyat dapat meneruskan kehidupan tanpa dibelenggu ketakutan berterusan kepada COVID-19. Namun usaha mengawal tetap diteruskan.
Hari ini, dengan memasuki era endemik, rakyat harus menerima COVID-19 sebagai penyakit yang sentiasa berada di sekeliling. Seperti penyakit lain, ia terus dipantau. Aspek rawatan dan pengubatan tetap diberi perhatian utama, kadar jangkitan diturunkan seminimum mungkin.
Adi sendiri berharap dengan memasuki fasa endemik, negara dan rakyat akan perlahan-lahan kembali melalui kehidupan seperti sebelum pandemik menyerang. Namun semua mesti tetap berwaspada. Kerana itu SOP seperti pemakaian pelitup muka masih dikuat kuasa.
Kita bersyukur kerana sebelum pun fasa endemik bermula, sektor ekonomi sudah mula dibuka dan bersamanya turut membuka peluang pekerjaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan kecairan di pasaran.
Semoga ramai rakyat yang terjejas kerana hilang kerja dan sumber pendapatan apabila banyak sektor ekonomi tidak beroperasi atau gulung tikar sebelum ini akan kembali memperoleh sumber rezeki.
Peralihan ke fasa endemik juga menyaksikan pembukaan sempadan negara. Rakyat negara ini boleh bergerak ke luar sementara pelancong asing pula boleh datang ke negara ini. Adi percaya langkah ini disambut baik oleh mereka yang sudah rindu datang ke sini. Langkah positif ini membuka lebih luas sektor pelancongan, antara sektor yang terjejas teruk akibat gejala COVID-19. Sekali pun sektor pelancongan dalam negara sudah dibuka, sumber pelancongan luar negara mampu memberi perolehan lebih banyak. Inilah masa sektor ini kembali meraih perolehan selepas merana ketika PKP dahulu.
Satu lagi perkara yang signifikan pada pandangan Adi, sejajar peralihan ke fasa endemik solat berjemaah di surau dan masjid di Wilayah Persekutuan boleh dilakukan dengan merapatkan saf. Tiada lagi penjarakan fizikal yang diamalkan selama tempoh PKP sehingga semalam (31 Mac).
Memetik Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib ismail, kehadiran jemaah dibenarkan tanpa sekatan umur seperti sebelum ini, asalkan sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19. Sebelum ini misalnya kanak-kanak tidak dibenarkan. Jemaah bagaimanapun digalakkan terus membawa dan menggunakan sejadah sendiri.
Memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang dengan umat Islam dijangka mula berpuasa mulai lusa (Ahad 3 April), solat sunat tarawih 20 rakaat dibenarkan sepanjang Ramadan. Selain itu, qiamullail selepas tengah malam juga dibenarkan.
Namun begitu penyediaan makanan kepada jemaah, jika ada, digalakkan dibuat dengan cara berbungkus atau take away. Cara ini lebih mudah dan tidak melibatkan perkumpulan ramai.
Bagi yang ingin bertadarus Al-Quran pula, dibenarkan berbuat demikian di masjid dan surau dengan dihadiri oleh kumpulan-kumpulan kecil. Aktiviti ini boleh dijalankan pada mana-mana waktu yang dianggap bersesuaian.
Bagaimana pun Adi ingin ingatkan, semua kebenaran ini adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan, selaras nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kelonggaran beribadat ini pasti disambut baik selepas kerajaan pertama kali mengenakan PKP di seluruh negara, melibatkan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau, termasuk solat Jumaat. Ini selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac 2020.
Namun secara perlahan kelonggaran diberi. Mulai Jun 2020, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon hijau dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka bagi solat berjemaah dan solat Jumaat mengikut garis panduan ditetapkan di bawah PKP Pemulihan.
Sebelum ini sekatan beribadah di masjid dan surau, serta penjarakan fizikal menimbulkan polemik kerana ada yang pihak mempertikai kenapa tempat ibadat dikenakan peraturan begitu ketat sedangkan tempat terbuka lain seperti pasar dan pusat membeli belah tidak sedemikian.
Justeru kini apabila semua sekatan ditarik balik, Adi harap lebih ramai akan datang mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, khususnya pada bulan Ramadan mulia.
Di samping khusyuk beribadat, jangan lupa SOP yang masih berkut kuasa seperti memakai pelitup muka. Teruslah berdoa agar Covid-19 dapat segera dibendung serta Malaysia sentiasa dalam perlindungan Allah dan mendapat limpah kesejahteraan daripadaNya ketika negara mengharungi fasa endemik ini.
Adi — Menunggu Ramadan menjelma – WILAYAHKU