Berita

Sektor getah perlu dijadikan bidang menarik kepada generasi muda

- Diterbit 23 Januari 2025 5:12 PM MYT

GETAH perlu dijadikan sebagai satu bidang yang menarik kepada generasi muda menerusi penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi ladang, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi tujuan itu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu berani keluar daripada cara lama.

“Bayangkan ladang getah yang menggunakan IoT, dron untuk meningkatkan produktiviti, dan e-dagang yang menghubungkan pekebun kecil terus ke pasaran global…ini bukan sekadar perubahan, ini adalah revolusi industri getah yang kita semua dambakan.

“Saya yakin dengan semangat, dedikasi dan komitmen anda semua (warga RISDA), kita bukan sahaja mampu mengatasi cabaran yang ada, tetapi juga membawa industri getah Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA Tahun 2025.

Sementara itu, Zahid berkata cabaran menjadi semakin mencabar apabila purata umur pekebun kecil kini mencecah 61 tahun.

Beliau berkata penglibatan anak muda menjadi semakin penting dan jika ini tidak dilakukan siapa lagi yang akan meneruskan legasi industri getah dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Katanya, realiti itu tidak boleh kita pandang enteng sebaliknya, pekebun kecil tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian.

“Kita memerlukan tindakan drastik, menyeluruh, dan berkesan untuk memperkasakan komuniti ini.

“Kita mesti membangunkan strategi yang mampan, progresif dan inklusif, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi pelan tindakan yang benar-benar memberi impak kepada kelangsungan hidup mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas