Berita

Sekian lama jadi ‘mangsa’ politik, kini tiba waktu sesuai pinda Akta 355

PINDAAN Akta 355 akan memberi lebih ruang kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam negara. - Koleksi JKSM
- Diterbit 26 Februari 2024 2:15 PM MYT

SETELAH dipolemikkan pelbagai pihak, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 akan dinoktahkan tidak lama lagi apabila kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta berkenaan tahun ini.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Penganalisis Undang-Undang Perlembagaan, Dr Mohamed Hadi Abdul Hamid berkata tindakan untuk membentangkan akta berkenaan dilihat tepat pada masanya berikutan ia telah sekian lama menjadi ‘mangsa’ politik pelbagai pihak.

“Sekarang ini merupakan waktu yang amat sesuai untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan ia perlu dibuat tetapi selama ini ia menjadi modal politik oleh sesetengah pihak dan banyak masa telah dibazirkan dengan polemik tuduh-menuduh siapa yang Islamik atau pun tidak Islamik, sedangkan ini merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira sempadan parti.

“Biarkan proses itu berjalan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan bahawa perkara itu sudah pun melepasi sesi libat urus dan kini di peringkat akhir sebelum ia di bentangkan di Parlimen untuk pindaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mohamed Hadi berkata walaupun Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan pindaan akta berkenaan namun ia hanya pada peringkat pendengaran sahaja tanpa ada apa-apa perbincangan, perbahasan atau tindakan lanjut.

“Apa yang berlaku kini perkara untuk meminda akta berkenaan akan dibawa menghadap Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum baginda memberi perkenan dan kemudian barulah dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Menurut Mohamed Hadi, akta berkenaan dikhususkan untuk had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan (lebih dikenali sebagai formula 356) jika disabitkan dengan kesalahan yang dilihat tidak mampu untuk memberikan keinsafan kepada pesalah dan tidak selari dengan perkembangan semasa, selepas pindaan terakhir dibuat empat dekad yang lalu pada tahun 1984.

“Ada yang mencadangkan hukuman perlu dinaikkan, misalnya penjara tiga tahun dinaikkan kepada 30 tahun, denda dinaikkan kepada RM100 ribu dan 100 sebat. Tetapi kita tidak tahu adakah ini cadangan muktamad kerana apa yang dicadangkan oleh jawatankuasa teknikal ini perlu dibawa ke negeri-negeri dan dibentangkan kepada Raja-Raja Melayu untuk diperkenankan,” katanya.

Beliau berkata pindaan terhadap akta ini dibuat pastinya akan ada peningkatan terhadap hukuman yang dinyatakan sekali gus mencerminkan bahawa kerajaan telahpun mengikut lunas undang-undang dan proses berkaitan sebelum ia dibentangkan.

“Jika kita lihat dari kenyataan menteri bahawa ketika ini ia telahpun melalui proses akhir, jadi tidak wajar dipolitikkan selepas pembentangan di Parlimen nanti.

“Blok Perikatan Nasional (PN) juga telah menyatakan persetujuan untuk menyokong namun diharapkan pandangan yang membina dapat diutarakan, bukannya pandangan yang berbaur politik dan permainan sentimen semata-mata,” katanya.

Mohamed Hadi berkata usaha ini tidak wajar untuk menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Menggubal Undang-Undang Syariah termasuklah cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan kerana ia melibatkan dua perkara yang berbeza.

“Ia merupakan kes yang berbeza kerana jika ada atau tidak kes Nik Elin Zurina ataupun Iki Putra, pindaan terhadap akta berkenaan sememangnya perlu dilaksanakan dan disegerakan.

“Seeloknya kerajaan perlu fokus untuk pinda akta itu terlebih dahulu, dan kita lihat adakah negeri-negeri akan ikut atau tidak dan dalam masa sama kita juga perlu meneliti cadangan daripada jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Azmi ini kerana soal pindaan Perlembagaan Persekutuan merupakan perkara besar dan memerlukan penelitian lanjut dari pelbagai aspek perundangan dan sebagainya,” katanya.

Ujar Mohamed Hadi, sekiranya cadangan untuk membiarkan proses Pindaan Perlembagaan dilaksanakan terlebih dahulu, ia dikhuatiri akan menjejaskan perancangan kerajaan untuk meningkatkan dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang sebelum ini dipolemikkan pelbagai pihak.

“Jadi prosesnya juga memakan masa yang lama kerana ia cadangan daripada jawatankuasa khas itu akan dipersembahkan kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Proses selanjutnya pula juga perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Jadi sekiranya perlu untuk semua perkara selesai terlebih dahulu, maka ia pasti mengambil masa yang lebih lama untuk meminda Akta 355 itu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas