Berita

Cadangan pindaan Akta 355 perlu selari dengan reformasi

- Diterbit 26 Februari 2024 2:12 PM MYT

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang berkaitan dengan hukuman Mahkamah Syariah dijadualkan tahun ini dilihat berupaya memperkasa institusi tersebut namun ia dilihat tergesa-gesa memandangkan banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) Noorazmir Zakaria berkata pihaknya mempunyai satu kekhuatiran kerana tindakan ini sebenarnya perlu dibuat secara selari dengan melaksanakan reformasi kepada Institusi Kehakiman Syariah, infrastruktur dan sebagainya.

“Apa yang dilihat ini adalah menaikkan hukuman dan contoh menerusi kes petisyen Nik Elin Zurina Abdul Rashid itu, pada saya sebenarnya tidak menyentuh secara langsung dengan isu Akta 355 dan kalau diberi keutamaan mana satu yang perlu didahulukan, pada saya isu perlembagaan yang lebih harus diberi penekanan dan keutamaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menjelas lanjut, Noorazmir berkata sekiranya Akta 355 dipinda sekarang, timbul persoalan adakah ia seiring dengan cadangan Jawatankuasa Khas Mengenai Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Menggubal Undang-Undang Syariah yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Azmi nanti.

“Sebabnya bagi saya kalau ikut kepada asal ketika Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, perkara meminda Akta 355 adalah yang terakhir untuk dilakukan selepas rancangan kerajaan ketika itu untuk melaksanakan reformasi untuk semua segi.

“Misalnya jika semua perkara telah dikenal pasti dan akta berkenaan telah dipinda, selepas itu jika kajian mengenai Perlembagaan dibuat, maka berkemungkinan akan berlaku pindaan sekali lagi.

“Kerajaan juga perlu lihat secara komprehensif dan itu tidak seharusnya menjadi keutamaan sekarang ini dan perkara asas itu perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum pindaan Akta 355,” katanya.

Jelas beliau, pandangan tersebut tidak bermaksud pihaknya tidak menyokong langkah yang diambil kerajaan, namun menteri berkaitan perlu melihat pelbagai akta berkait termasuklah Akta Profesion Guaman Syariah dan penyelarasan undang-undang syariah negeri-negeri.

Sementara itu, peguam Sivil dan Syarie, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata segala usaha untuk memperkasakan bidang kuasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah harus disokong termasuklah apa-apa pindaan undang-undang yang diperlukan bagi tujuan tersebut.

Ujar beliau, dalam usaha untuk menyemak semula hukuman, tidak timbul soal lapuk tetapi ia perlu selaras dan selari dengan perubahan zaman dan masyarakat.

“Apapun kita perlu menanti cadangan daripada Jawatankuasa Khas yang sudah tentu memerlukan proses lanjut iaitu kelulusan daripada Majlis Kebangsaan Bagi Agama Islam (MKI).

“Selain itu perkenan Majlis Raja-Raja juga diperlukan kerana ia merupakan institusi utama dalam hal ehwal Islam negara kita,” katanya.

Jelas Wan Anwar, meskipun Akta 355 ini pernah dibangkit dan di bawa secara persendirian oleh Ahli Parlimen Marang itu, orang ramai perlu memahami bahawa ia merupakan hukuman takzir.

“Kita sedia maklum bahawa apa jua undang-undang yang merupakan terbitan daripada ijtihad sudah tentu akan terbuka kepada wacana umum mahupun khusus.

“Oleh itu, semua pihak harus berlapang dada dengan cadangan pindaan ini dan sekiranya hendak diwacanakan sekali pun ia mestilah di dalam ruang lingkup akademik dan tidak perlu dipolitikkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas