Berita

Sejuta buku untuk orang miskin

ORANG awam mengambil peluang membaca di kiosk buku yang disediakan di tempat awam. - Gambar hiasan
- Diterbit 17 Februari 2020 12:34 PM MYT

KUALA LUMPUR – Menyedari ramai golongan miskin tidak mempunyai akses dan kemampuan membeli bahan bacaan, sebanyak satu juta naskhah buku melibatkan 100 tajuk terbaik akan dicetak sempena program Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 yang bermula April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd. Samad berkata, di bawah projek 100 Buku Emas, setiap tajuk buku terpilih akan dicetak sebanyak 10,000 salinan untuk diedarkan kepada golongan B40 di seluruh negara sepanjang kempen KLWBC 2020.

“Kita harus menyedari, warga B40 bukan semata-mata memerlukan sumbangan material bersifat fizikal. Namun lebih daripada itu, ilmu dan peradaban buku harus dijadikan usaha spiritual untuk meningkatkan kualiti minda serta sikap masyarakat kita terhadap kehidupan mereka,” katanya.

Dalam kes Kuala Lumpur sendiri, kata Khalid, akses perbukuan amat penting.

“Kami melihat hampir 100,000 isi rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu kota yang perlu disantuni dengan akses perbukuan.

“Malah dengan dana tajaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, sejuta buah buku hasil projek 100 Buku Emas KLWBC, limpahan edarannya akan beredar ke seluruh negara,” katanya pada majlis taklimat KLWBC 2020 bersama penaja-penaja korporat dan GLC di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan pemimpin syarikat korporat antaranya Tan Sri Tony Fernandes.

Khalid yang juga Pengerusi Bersama KLWBC 2020 berkata, projek meraih dana program KLWBC 2020 dilaksanakan secara telus, malah ia bukan projek komersial yang mana matlamatnya merentas soal politik, agama dan bangsa.

“Ia soal menjadikan negara kita celik literasi dan membina tamadunnya melalui ilmu dan pembacaan.

“Kita berganding bahu bagi mendokong kepentingan sosial dan bagi menjayakan agenda perbukuan dan pembacaan negara, kami memerlukan rakan strategik tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan dana disumbangkan penaja akan dimasukkan ke akaun khas DBKL khusus untuk KLWBC 2020,” katanya sambil menambah akaun ini sudah dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan bagi permohonan pelepasan cukai.

Selain itu, kata beliau, KLWBC 2020 juga menyediakan lebih 300 acara sepanjang setahun sambutannya.

Jelas Khalid, KLWBC 2020 ialah usaha KWP dan Kementerian Pendidikan dalam memastikan akses perbukuan di negara ini meluas sehingga peringkat kanak-kanak, pelajar, remaja dan ibu bapa.

Pada 23 April ini, Kuala Lumpur akan diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Ibu Kota Buku Dunia.

Ini pengiktirafan yang memiliki prestij terutamanya mengangkat nilai metropolitan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang ke-20 pada tahun 2020.

World Book Capital atau WBC bermula pada tahun 2001 di Madrid, Sepanyol. Ibu kota ke-19 ialah di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 22 April nanti, pukul 9 malam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mewakili Kuala Lumpur untuk menerima Arca WBC daripada pihak Sharjah sekali gus menandakan secara rasmi status Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke-20 dan status itu akan diraikan selama setahun sehingga 22 April 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas