Berita

Lulus kondominium kawasan padat, itu 2017 punya cerita

ANGGOTA bomba berusaha memasuki ruangan sempit bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan Jumaat lalu. - Foto: Ihsan JBPM
- Diterbit 17 Februari 2020 12:24 PM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad meminta pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kelulusan ke atas projek kondominium di Taman Desa, Kuala Lumpur yang runtuh pada Jumaat lalu.

Beliau menegaskan, kelulusan projek tersebut diberikan pentadbiran terdahulu meskipun pada asalnya tapak berkenaan dikatakan kawasan lapang dan hijau.

Malah jelas beliau, pembinaan kondominium itu merupakan antara 200 projek yang didapati melanggar draf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020.

“Jadi segala spekulasi dalam isu ini kita harap semua lebih bertanggungjawab.

“Kalau nak marah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Bandar atau Menteri Wilayah Persekutuan, harap ambil maklum itu tahun 2017 punya cerita. Dalam soal kepadatan bukan keputusan pentadbiran baharu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Khalid memberitahu, draf pembangunan yang dirangka sejak 2012 telah berjaya diwartakan oleh pentadbiran baharu pada 2018.

Justeru katanya, projek kondominium tersebut tidak boleh dianggap salah dari segi undang-undang kerana pada 2017, status pelan itu hanya sebagai draf pembangunan.

Khalid berkata, sebab kelulusan dan arahan pembangunan itu diberikan sudah menjadi perkara akademik dan ia tidak boleh dibatalkan begitu sahaja tanpa hadapi risiko tindakan undang-undang.

Kelulusan itu juga tiada kaitan dengan insiden runtuhan tersebut kerana ia berlaku ketika pembinaan dilakukan, katanya.

“Apa punca dan sebab runtuh, siasatan sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH.  DBKL juga sudah mengarahkan projek itu dihentikan sehingga keputusan siasatan dikeluarkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas