Berita

Sayembara Puisi Putrajaya pembuka acara 2020

TENGKU AINA menunjukkan poster pertandingan Sayembara Puisi Putrajaya.
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:52 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto Ihsan FARIS AZMI (Jurufoto PPj)

PERTANDINGAN Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya yang dibuka sehingga 22 November ini merupakan satu lakaran sejarah yang akan menonjolkan ketamadunan bahasa serta bangsa. Malah, 25 puisi yang terpilih akan dibukukan.

Dianjurkan sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya pada tahun hadapan, buku tersebut akan dilancar pada 16 Januari 2020 sekali gus dijadikan sebagai program pembuka dalam kalendar aktiviti bandar rasmi kerajaan Persekutuan ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, pertandingan puisi dipilih sebagai salah satu pengisian pada tahun hadapan kerana ia merupakan sebahagian warisan generasi terdahulu dan mempunyai nilai keseniaan yang tinggi.

“Apabila sebut mengenai Putrajaya, sambutan Jubli Perak mesti merangkumi semua aspek dan bukan hanya dari segi hiburan dan musik.

“Ia mesti turut merangkumi aspek kesenian dan kebudayaan malah puisi dikenali kerana mempunyai kesenian yang tinggi,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Tengku Aina, selain penglibatan orang awam dan komuniti Putrajaya, pihaknya juga mengalu-alukan penyertaan daripada golongan sasterawan.

Ini kerana katanya, dengan adanya penyertaan daripada golongan ternama berkenaan, buku puisi yang dihasilkan akan menjadi satu lakaran sejarah bagi Putrajaya.

“Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, maka dengan adanya puisi dan penglibatan sasterawan-sasterawan negara ia akan menjadi lebih berprestij.

“Selain itu, kita nak juga orang ramai mengekspresikan emosi dan perasaan mereka tentang Putrajaya sekali gus menggambarkan nilai budaya serta lokasi setempat.

“Pada masa sama, nilai estetika dan kualiti ketamadunan bahasa serta bangsa ditingkatkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Tengku Aina memberitahu, buku puisi yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan itu juga akan diterjemahkan dalam tiga bahasa utama di Malaysia iaitu Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Tambahnya, pertandingan puisi merupakan kerjasama strategik antara PPj dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas