Berita

Matic Fest 2019 sasar 10,000 pengunjung

RUDY IRWAN (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada wakil Gaya Travel, Shamsul Bahrin Zainuzzaman selepas sidang media khas baru-baru ini.
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:43 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) menyasarkan 10,000 pengunjung hadir ke program Matic Fest 2019 yang bakal berlangsung bermula 1 hingga 3 November ini.

Program yang bertempat di Matic Jalan Ampang di sini diadakan bagi mengetengahkan produk pelancongan dan kebudayaan kepada pengunjung sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 tahun hadapan.

Menurut Pengarahnya, Rudy Irwan Shukaime, kelainan pada penganjuran kali ini adalah lebih banyak aktiviti dan persembahan yang disediakan bagi menarik kehadiran pengunjung di samping gerai-gerai jualan kraftangan serta produk tempatan.

“Sebanyak 40 gerai yang menawarkan pelbagai produk seni, kraf adn warisan termasuk hidangan tradisional negeri disediakan kepada pengunjung.

“Persembahan serta permainan yang disediakan juga menarik kerana melibatkan pelbagai peringkat umur seperti wayang kulit, cak lempong, guzheng, silambam, The Rudean dan Suehaila,” katanya dalam sidang media khas baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rudy Irwan memberitahu, Matic Fest dianjurkan semula selepas lima tahun.

Ujarnya, ia juga diadakan bagi mempromosikan Matic sebagai pusat sehenti untuk kemudahan pelancong dalam dan luar negara.

Tambahnya, penganjuran tersebut juga mendapat kerjasama daripada Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Wilayah Perselutuan Kuala Lumpur/Putrajaya; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Unit Khas Visit Malaysia 2020 dan Tourism Malaysia Wilayah Tengah serta BERNAS.

“Turut sama adalah KL Hop On Hop Off, Matic TV dan lainlain lagi,” ujarnya sambil menyatakan terdapat pelbagai kemudahan pengankutan awam untuk pengunjung hadir ke Matic Fest nanti.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas