Berita

Sayangi UMNO, beri khidmat terbaik demi rakyat – Pesan Annuar

- Diterbit 13 Januari 2021 3:22 PM MYT

BEKAS Setiausaha Agung BN, Tan Sri TPr Annuar Musa mengingatkan rakan seperjuangan dalam UMNO supaya sentiasa menyayangi parti, terus berkhidmat dengan baik, jujur dan amanah demi membela rakyat yang dipimpin.

Beliau berkata, pemilih yang mengundi itu rakyat, maka pemimpin dipilih itu perlu mendengar suara rakyat bagi memastikan UMNO kekal relevan dan berperanan dalam arena politik tanah air.

“Semua rakan dalam parti harus menjaga nama baik parti dan jangan mendekati amalan rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa, sombong, ego dan sikap yang dibenci rakyat.

“Jangan lupa dengar suara rakyat. Jangan hanya dengar bisikan para memanda keliling pinggang yang mencari makan atau sering diumpan, atau ‘warlords‘ yang kalah berperang atau tidak pernah menyumbang.

“Yang mengundi rakyat, jadi dengar suara rakyat walau bisikannya tidak lantang,” katanya di dalam kenyataan dimuat naik laman Facebook miliknya pada Selasa.

Annuar turut berpesan kepada ahli dan pemimpin parti supaya tidak membelakangi keputusan parti yang dibuat secara bersama serta menghindari sikap ‘depan cakap lain, belakang buat lain’ bak kata pepatah pepat di luar, rencong di dalam.

Katanya, parti perlu terima realiti politik, bahawa UMNO tidak boleh bersendirian malah ia perlukan kawan strategik atau strategic partners (SP).

“Rakan strategik tidak semestinya yang kita suka, mungkin kita tidak suka tapi jika dasarnya sama, fahaman sama, hala tuju sama, tidak salah untuk kita bekerjasama.

“Janganlah takut dengan bayang-bayang sendiri atau ‘polong rekaan’, takutkan kucing peliharaan tetapi menyerah kepada serigala di hutan serta mengambil musuh yang nyata, tetapi menolak kawan yang setia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas