Berita

Keliru pemimpin UMNO tarik sokongan – Annuar

- Diterbit 13 Januari 2021 1:22 PM MYT

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri TPr Annuar Musa mengakui bahawa beliau keliru dengan tindakan segelintir pemimpin UMNO yang mengumumkan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan dibuat bukan saja tidak selari dengan keputusan parti menyertai kerajaan adalah secara en bloc (kemasukan secara blok) malah bertentangan ketetapan diambil parti.

“Ini saya mengaku, saya pun terkeliru. Saya cuma berpegang kepada keputusan parti tetapi kenapa tindakan-tindakan individu tertentu tidak selari dengan parti.

“Jadi (situasi) saya rasa patut kita harmonikan. Kepimpinan parti terutamanya Presiden mestilah mencari jalan untuk mengharmonikan antara keputusan parti dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh individu,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam Wacana Sinar Edisi Ke-224 bertajuk PN: Kerjasama sekerat jalan? disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa, dimoderatorkan oleh Herleena Pahlavy.

Selain Annuar, barisan panelis lain tampil dalam wacana ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib.

Mengulas mengenai punca segelintir pemimpin UMNO bertindak sedemikian, Annuar berkata, ia kerana timbul kekecewaan antara pemimpin dan ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila berlaku perkara tertentu.

“Cuma saya rasa kekecewaan itu perlu diuruskan sebab sebahagiannya cuma persepsi. Saya juga banyak kali berinteRaksi dengan kerajaan dan juga Perdana Menteri, saya dapati Perdana Menteri bersifat terbuka.

“Beliau (PM) sanggup dengar berkali-kali masalah tetapi jurang (hubungan UMNO dan Bersatu) itu tidak dirapatkan. Sebab itu saya positif, walaupun sekarang ada krisis tapi saya masih mendoakan agar keharmonian dapat dikembalikan,” katanya.

Annuar turut menyeru supaya UMNO mengambil peluang ada di sepanjang tempoh pengisytiharan darurat yang menyaksikan tidak ada persidangan Dewan Rakyat untuk bermuhasabah diri dan juga memperbetulkan keadaan.

“Tapi pihak Bersatu juga saya harap mengambil sikap terbuka perbaiki jika ada apa perkara yang menyebabkan tersinggungnya ahli UMNO. Ruang untuk kita wujudkan persefahaman itu ada.

“Saya ingin menyeru pemimpin UMNO untuk menyatupadukan ahli kerana kalau tidak dapat lakukan maka lebih susah sekiranya kita hendak bekerjasama dengan orang lain,” katanya sambil menegaskan beliau yakin perbezaan pendapat dalam UMNO dapat diuruskan dengan baik bagi memastikan kerjasama terbentuk bawah PN ini dapat diteruskan.

“Kalau itu dapat diharmonikan semula, maka PN yang dikatakan bekerjasama sekerat jalan, dapat disambung semula menuju pilihan raya umum yang kita harap dapat diadakan secepat mungkin selepas kita menguruskan dengan baik masalah penularan COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Annuar juga masih percaya kepada konsep PN berpegang kepada prinsip bahawa dalam politik negara, kelompok teras iaitu orang Melayu dan Islam mesti bersatu dan disatukan.

Menurutnya, dari situlah UMNO, PAS dan Bersatu mempunyai peranan lebih besar yang tidak harus dirosakkan oleh ketidakselesaan yang timbul.

“Sampai sekarang saya belum putus asa, walau kena pecat, saya tetap pegang kepada pendirian bahawa UMNO, PAS dan Bersatu, kelompok teras untuk menstabilkan politik negara kerana di luar sana kita bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kalau kita berpolitik sorong tarik, kita hanya menyumbang kepada ketidakstabilan. Negara tengah sibuk melawan COVID-19, kita pula mahu letak jawatan atau tarik sokongan. Rakyat akan menyampah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas