PENYANYI dan usahawan, Julianah antara insan yang tidak pernah lokek malah gemar berkongsi rezeki teruatamanya apabila tibanya bulan Ramadan.
Julianah atau lebih mesra disapa Juju menganjurkan program Infaq sejak 2019 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Untuk Ramadan tahun ini, saya menjalankan program agihan makanan (roti john) kepada sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim, gelandangan serta masjid dan surau berdekatan. Setiap hari saya akan hantar sebanyak 100-150 roti john.
“Selain itu, kami turut menyerahkan 100 bungkus bakul makanan berisi beras, minyak susu, gula, tepung dan lain-lain kepada keluarga Asnaf di sekitar Wangsa Maju.
“Baru-baru ini kami turut mengadakan program Ketuk- Ketuk Sahur dengan kerjasama NGO Women Power, Biro Penerangan Wanita Umno Bahagian Wangsa Maju serta pasukan penghantar makanan.
“Kami berkonvoi sebanyak 30 buah biji motor dan sebuah kenderaan 4×4. Kami sediakan 350 pek makanan dan air,” katanya.

Ibu tunggal berusia 42 tahun ini turut mengakui bahawa dia sememangnya suka melakukan program kebajikan ini kerana dia pernah melalui kehidupan seperti gelandangan suatu masa dahulu.
“Kadang nak makan pun meminta-minta, jadi saya tahu rasanya hidup tidak berduit dan susah. Terima kasih kepada team Juju yang banyak membantu dari awal 2019 program infaq sehingga kini,” ujarnya.
Sementara itu, Juju juga muncul dengan lagu raya berjudul Raya Patutnya Aku hasil ciptaannya dengan kerjasama penulis lirik Zamzoy dan susunan lagu mendapat sentuhan AR Wanz.
Tambah Juju, lagu tersebut turut dinyanyikan oleh Intan Shaha dan Puteri Sheira.
Bagi Juju, kemunculannya dengan lagu raya bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana artis sebaliknya lebih kepada minat serta dikurniakan sedikit bakat dalam bidang seni.
“Pada usia sekarang saya tidak memikirkan untuk bergelar artis kerana saya mempunyai tanggungjawab dalam bidang kerja dan tugas-tugas lain termasuk menjaga anak-anak angkat saya.
“Saya juga tidak meletakkan sasaran untuk memasarkan lagu ini di mana-mana saluran.
“Saya juga gembira jika lagu ini mendapat maklum balas positif daripada pendengar atau peminat muzik,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU