Berita

“Saya rela dikritik…” – Wany Hasrita

- Diterbit 9 Februari 2021 10:05 PM MYT

PENYANYI Wany Hasrita,28, mengaku masih banyak yang perlu dipelajarinya meskipun sudah enam tahun dalam bidang nyanyian.

Wany tidak kisah jika ada yang mahu mengkritik atau memberi komen asalkan semua itu membolehkannya memperbaiki kelemahan diri. 

Terbaru, Wany muncul dengan lagu Cinta Khayalan yang dianggap sangat mencabar dirinya dari segi vokal dan emosi.

“Cinta Khayalan merupakan lagu yang paling berat dan susah untuk saya rakamkan, kerana lagu ini memerlukan emosi yang kuat selain perlu fokus pada vokal. 

“Ini pertama kali saya merakamkan  lagu yang memerlukan masa yang lama untuk disiapkan. Empat kali saya ke studio rakaman bagi memastikan hasil lagu ini betul- betul mencapai tahap yang dikehendaki oleh pencipta lagu ini iaitu Amelia dan Farouk. 

“Memang agak mencabar kerana lagu ini sebenarnya saya rakamkan sewaktu bulan Ramadan tahun lalu. Bayangkan struggle nya saya untuk siapkan lagu ini kerana bulan puasa sudah tentunya tenaga juga berbeza berbanding bulan lain. 

“Namun saya sangat puas hati kerana pengorbanan saya berbaloi,” jelas Wany Hasrita yang berharap peminat sudi memberi komen dan menjadi ‘juri’ untuk menilai nyanyiannya.

“Lagu ini berat dan sangat mendalam maksudnya. Saya rasa sangat gembira kerana saya telah melangkah setapak ke hadapan.

“Dalam masa yang sama, rasa saya telah berjaya mencabar diri saya untuk keluar dari zon yang selesa dan nyanyi lagu yang biasa saya nyanyikan. 

“Jujur saya katakan saya in love dengan lagu ini. Kalau kalian tak percaya dengar dan hayati sendiri lagu ini. 

“Untuk itu,  saya mohon anda semua menjadi juri serta tidak teragak-agak memberi komen tentang lagu dan cara nyanyian saya. 

“Saya rela dikritik demi kebaikan kerjaya saya, tetapi kritik tentang lagu je tau, bukan tentang kisah peribadi,” ujarnya lagi.

Jangan lupa tonton Muzik Video Cinta Khayalan di saluran Youtube FMC Music serta muat turun lagu ini di seluruh platform digital. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas