Selebriti

“Saya rasa disepikan…”- Johan As’ari nafi merajuk

- Diterbit 22 Jun 2022 5:25 AM MYT

PELAKON bertubuh sedap Johan As’ari mengaku berasa terpinggir dan seperti sudah dilupakan ekoran kurang mendapat liputan media-media utama sejak kebelakangan ini.

Bukan itu sahaja, Johan atau nama sebenarnya juga Johan Arrif As’ari, 35, juga meluahkan rasa dirinya kurang diberi perhatian kerana tiada kontroversi atau kisah-kisah peribadi yang boleh dikongsikan.

Luahan ini membayangkan seolah-olah Johan merajuk. Betul ke Johan kacak?

“Bukanlah merajuk. Cuma sebelum ini ada sahaja drama saya ditayangkan di kaca televisyen tetapi seakan tidak diambil peduli. Mungkin juga saya lemah mempromosikan diri dalam media sosial.

“Saya rasa selama ini saya ‘disepikan’ kerana kurang mendapat liputan. Bagaimanapun saya masih gembira dan bekerja seperti biasa.

“Saya juga seperti orang lain ada media sosial dan berusaha mengikut trend agar tidak ketinggalan,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada sidang media filem Mat Kilau, baru-baru ini.

Menyentuh soal filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang bakal ditayangkan pada 23 Jun ini Johan membawa watak sebagai Yassin.

Lakonan Johan dipuji ramai kerana berjaya membawakan watak berbeza daripada karakter yang pernah dibawanya.

Yassin adalah antara pemuda yang bersama-sama Mat Kilau menentang penjajah.

“Saya berasa amat gembira dan bangga apabila mendapat tawaran berlakon filem arahan Syamsul Yusof.

“Saya sanggup menolak tawaran lain kerana mahu mengekalkan rambut panjang,” ujarnya.

Filem Mat Kilau menelan belanja RM8 juta dan menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak dan lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Filem itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan diubah mengikut kesesuaian, bukan sepenuhnya kisah benar membabitkan pahlawan itu.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas