Selebriti

“Saya berhijab bukan sebab nak bisnes” – Fieya Julia

|FIEYA Julia luah kisah cintanya dalam lagu Halusinasi.
- Diterbit 5 Oktober 2021 12:00 AM MYT

PENYANYI lagu Halusinasi Fieya Julia mengaku pernah berasa murung dan hati tidak tenang sebelum mengambil keputusan untuk berhijab.

Segalanya berubah apabila Fieya atau nama sebenarnya Nur Syafiyah Sejali, 22 tahun, mula berhijab.

Fieya berkata, sebelum ‘berhijrah’ dia selalu kemurungan, kerap ada masalah dan sedih tiba-tiba. Dia merasakan apa yang dibuat semuanya tak mencukupi.

“Sebenarnya sebelum berhijab, saya selalu kemurungan, ada masalah dan rasa stres serta sedih tiba-tiba. Saya rasa apa benda yang saya buat tak cukup.

“Sebelum ini saya rasa banyak sangat gangguan dari segi macam-macam seperti stres bekerja. Bila free hair banyak perkara perlu dilakukan seperti nak kena dandan rambut la.

“Itu satu kebaikan juga bila berhijab tak perlu fikir itu semua. Saya rasa sebelum ini ramai lelaki gatal yang DM (direct message), mereka ingat penampilan Fieya yang free hair tu mesti Fieya sporting.

“Dah nama orang gatal, kalau kita berhijab atau tak, bila mereka dah suka memang akan flirt juga.

“Saya bersyukur sangat kerana mengambil keputusan untuk berhijab. Sebelum ini pernah berhijab tapi on off, sekarang kalau boleh nak kekal kerana selepas berhijab rasa lebih tenang saja. Sebenarnya dah lama ada niat untuk berhijab tapi over thinking,” katanya yang lebih bahagia setelah berhijab.

Walaupun ada yang berpendapat, Fieya berhijab berkemungkinan mahu terlibat dalam bisnes tudung, ini jawab Fieya

“Sebelum berhijab, ramai yang DM (mesej di Instagram) tawar jadi model untuk produk tudung tapi tidak bersedia lagi.

“Apabila berhijab pun saya tak bersedia untuk jadi model mana-mana jenama tudung. Kalau sendiri berniaga mungkin ada perancangan.

“Sekarang ini banyak sangat artis jual tudung. Kalau saya ada bisnes nanti pun tak akan keluar produk tudung. Sejujurnya saya berhijab ini bukan sebab nak ada bisnes tapi nak ubah diri daripada sebelum ini,” ujar Fieya.

FIEYA Julia luah kisah cintanya dalam lagu Halusinasi.

Dianggap janda

Tambah Fieya, lakonan adalah salah satu cabang seni yang turut diminatinya. Namun, Fieya mengaku akan terima tawaran berlakon jika bersesuaian dengan dirinya.

“Pernah dapat tawaran berlakon tapi watak janda, Fieya tak nak. Ada juga yang tawar berlakon dalam drama, cuma Fieya agak memilih kerana tak nak watak yang pelik-pelik sebab masih muda.

“Sekarang ini saya tak berlakon pun ramai yang ingat saya janda. Kalau boleh nak elakkan benda itu.

“Kalau diberi tawaran, teringin nak berlakon dalam cerita budak-budak sekolah menengah.

“Kalau boleh saya nak cuba berlakon dalam YouTube dulu. Saya ada saluran YouTube sendiri dan ada geng yang boleh buat drama pendek.

“Tengok dulu daripada hasil yang saya buat tu, nak orang nilai sesuai tak saya berlakon.

“Komen orang ramai perlu, kalau masih banyak benda yang kurang kena belajar dulu dan kalau ramai cakap boleh berlakon, saya sedia untuk lakonkan watak yang sesuai. Saya tak nak jadi penyanyi saja, kalau boleh nak cuba pelbagai bidang,” katanya yang mahu terus aktif dalam seni.

Terbaru, Fieya muncul dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Halusinasi yang semakin mendapat sambutan.

Lagu Halusinasi dapat dilayari di pelbagai platform streaming seperti Apple Music, iTunes, Sportify, Joox, KKBox dan Deezer. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas