Berita

Satu batalion PGA gempur sarang pendatang asing di Jalan Silang

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Disember 2023 5:10 PM MYT

HAMPIR satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dikerah bagi menggempur dan ‘membersih’ penempatan warga asing di Jalan Silang di sini.

Tinjauan Bernama mendapati dalam operasi yang bermula kira-kira 11 pagi itu, dianggarkan 1,000 pegawai dan anggota pasukan lengkap bersenjata menyerbu sarang penempatan warga asing yang menjadikan kawasan tersebut tidak ubah seperti perkampungan mereka sendiri.

Ini termasuk membuka premis perniagaan yang menjual barangan dari negara mereka selain menjadikan premis di kawasan itu sebagai tempat kediaman dengan tidak menjaga kebersihan sehingga menimbulkan bau busuk.

Biarpun ada cuba menyembunyikan diri, namun pemeriksaan teliti dari premis ke premis di empat blok di lokasi berkenaan selain kepungan besar-besaran, menyebabkan banyak warga asing yang kebanyakannya warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal tidak sempat melarikan diri.

Sehingga 2 petang tadi, dianggarkan lebih 500 warga asing telah ditahan dan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.

Difahamkan polis akan mengadakan satu sidang media khas berkenaan operasi tersebut pada 5 petang ini di Pulapol. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas