Berita

Sasaran 80 peratus penduduk KL, Putrajaya divaksin seawal Ogos akan dicapai – Annuar

SASARAN 80 peratus penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya divaksin mampu dicapai seawal Ogos ini bagi merealisasikan Pelan Pemulihan Negara. Gambar - BERNAMA
- Diterbit 24 Jun 2021 1:07 PM MYT

KERAJAAN yakin sasaran untuk memvaksin 80 peratus penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya sekali gus mencapai imuniti kelompok lebih awal mampu dicapai seawal Ogos ini bagi merealisasikan Pelan Pemulihan Negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata dua wilayah yang merupakan pusat kepada aktiviti pentadbiran dan ekonomi itu mempunyai sumber dan keupayaan termasuk menjalankan inisiatif tambahan seperti program trak vaksin bergerak dalam mempercepatkan proses vaksinasi.

“Sehingga 21 Jun, jumlah populasi yang telah mendaftar di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mencapai 100 peratus. Jumlah penerima vaksin di Kuala Lumpur adalah sebanyak 56.16 peratus bagi dos pertama dan 10.82 peratus bagi dos kedua.

“Bagi Putrajaya pula, jumlah penerima adalah sebanyak 50.34 peratus bagi dos pertama dan 30.81 peratus bagi dos kedua, ” katanya dalam sidang media yang dijalankan secara hibrid, baru-baru ini.

Beliau berkata langkah ini juga merupakan persiapan awal kerana pihaknya menjangkakan kelonggaran dan keistimewaan tertentu bakal diberikan kepada golongan yang telah menerima dua dos vaksinasi pada Fasa Kedua pelan berkenaan.

Menerusi Fasa Kedua yang dijangka dilaksanakan pada Ogos itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan senarai positif bagi kebenaran pembukaan semula beberapa sektor berdasarkan penilaian yang dibuat.

“Apabila kita mencapai imuniti kelompok lebih awal, kita berharap proses pemulihan kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, aktiviti komersial akan dapat mendahului dalam (pelaksanaan) Pelan Pemulihan Nasional,” katanya.

Beliau menjelaskan Wilayah Persekutuan berada pada landasan yang betul dan memenuhi ketiga-tiga nilai ambang ditetapkan bagi peralihan ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara iaitu mempunyai sumber mempercepat proses pemulihan dari sudut keupayaan menurunkan kes positif dan vaksinasi serta kemudahan di hospital.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya bersetuju memberikan rebat lima hingga 10 peratus kepada semua pembayar cukai pintu melibatkan semua aset dan premis termasuk sektor perhotelan, industri serta perumahan di Wilayah Persekutuan.

Mengambil contoh jumlah kutipan Bandaraya Kuala Lumpur yang mencecah RM1 bilion, beliau berkata pemberian rebat ini membabitkan kos dalam lingkungan RM50 juta ke RM100 juta serta memaklumkan peratus nilai rebat kepada pembayar cukai pula adalah mengikut kategori yang akan diperincikan kemudian.

Annuar berkata semua pemilik premis kediaman dan komersial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan turut diberi penangguhan bayaran cukai taksiran sehingga Disember tahun ini.

Sebelum ini, beliau turut mengumumkan pembayaran cukai pintu boleh dilakukan secara ansuran dan mereka yang telah lewat membuat bayaran kerana mempunyai masalah kewangan tidak akan dikenakan sebarang penalti. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas