Berita

KWP sasar vaksin lebih 6,000 penghantar makanan, 7,000 penjaja mulai Julai

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata penghantar makanan dan penjaja wajar diberi keutamaan susulan terdedah  kepada risiko selain meyakinkan orang ramai yang perlu berurusan dengan mereka setiap hari. Gambar - Fail/Wilayahku
- Diterbit 24 Jun 2021 12:55 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk  memvaksin lebih 6,000 penghantar makanan (food rider) dan 7,000 penjaja di ibu negara, Putrajaya dan Labuan bulan depan.

Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata golongan itu wajar diberi keutamaan susulan terdedah  kepada risiko selain meyakinkan orang ramai yang perlu berurusan dengan golongan itu setiap hari.

“Walaupun rata-rata penghantar makanan ini terdiri daripada golongan muda lingkungan 20-an dan bukannya golongan rentan, pekerjaan mereka termasuk dalam keperluan perlu dan harus bekerja tidak kira apa situasi termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Orang ramai merasakan tidak selamat sehingga mereka tahu golongan ini telah divaksin, penghantar makanan juga perlu terus bekerja untuk mencari pendapatan, jika mereka tidak divaksin, mereka akan berasa patah semangat dan terdedah dengan bahaya, jadi adil untuk mereka diberi keutamaan,” katanya pada sidang media khas baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan syarikat pengurusan yang membuat servis berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat pekerja.

Annuar berkata kementerian turut memberi keutamaan kepada golongan yang disifatkan berisiko tinggi di kawasan berkepadatan tinggi dan terdedah termasuk pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL), gelandangan, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pekerja binaan.

“Di PBKL dan PPR kita berikan menerusi program rintis trak vaksin bergerak…dan setakat ini lebih 200 gelandangan juga telah divaksin,” katanya.

Beliau berkata pemberian vaksin di Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mencapai 50,000 sehari menjelang bulan depan menerusi operasi 124 pusat pemberian vaksin termasuk trak vaksin bergerak di kawasan PPR dan Perumahan Awam, kampung tradisi di ibu kota serta penempatan gelandangan.

Katanya, jumlah penduduk yang divaksin di Kuala Lumpur kini meningkat daripada 7,000 dos sehari kepada 35,789 dos sehari, Putrajaya (1,000 dos kepada 1,800 dos sehari) dan Labuan (700 kepada 3,000 sehari).  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas