Berita

Sarang cinta saya, selamatkah?

|
- Diterbit 15 November 2020 9:33 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 nampaknya terus menjadi berita utama di segenap pelosok negara. Akibat wabak ini, banyak sektor pekerjaan dan juga perniagaan pada awalnya tidak dapat beroperasi seperti biasa. Ramai yang turut hilang pekerjaan akibat kelumpuhan sektor perniagaan dan perdagangan di pelbagai peringkat. Kesannya amat dirasai oleh golongan muda yang baharu sahaja dalam fasa menyesuaikan diri dengan pelbagai komitmen seperti pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan, pinjaman rumah dan perniagaan.

Selepas enam bulan berlalu, COVID-19 masih lagi menjadi ancaman utama negara dan kerajaan sentiasa mengawal pandemik ini daripada menjejaskan lagi gelombang kehidupan rakyat Malaysia.

Saya perhatikan juga dua bulan kebelakangan ini, sektor perumahan negara terus sahaja berkembang pesat. Saya mendapati pelbagai landasan serta medium dilaksanakan secara tubi dan agresif oleh pemaju untuk meraih perhatian bakal pelanggannya untuk memiliki sekurang-kurangnya satu unit rumah yang mereka hasilkan, contohnya pemilikan harta tanah dalam Wilayah Persekutuan.

Mari kita semak dua buah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang membincangkan secara terperinci mengenai ‘sarang cinta’ kita ini. Mengapakah saya menyebutnya sarang cinta? Bukankah kediaman merupakan entiti penting bagi kita mewujudkan keluarga bahagia yang sakinah, mawaddah dan rahmah? Untuk keterangan lanjut, pembaca boleh melayari portal dbpniaga.my.

HABITAT MANUSIA DAN PENGURUSANNYA
(Editor Hamidi Ismail dan Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, 2016)

Saya kepada sebuah projek  kondominium di tanah air kita, tetapi bukan dalam Wilayahku. Melalui buku ini isu habitat manusia yang terkesan akibat daripada pelbagai pembangunan dibincangkan secara terperinci.

Menariknya tentang buku ini pembaca akan menemukan 13 orang pakar daripada universiti tempatan dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan dengan habitat manusia dan pengurusan termasuklah isu alam sekitar, pembangunan holistik, undang-undang, perubatan dan sains kesihatan dan lain-lain.

Menurut editornya, buku ini diterbitkan agar pembaca dapat memahami dilema dalam sebuah habitat manusia dan sistem pengurusan yang lengkap dan efisien membantu sesebuah negara menyediakan habitat kepada populasinya dengan cara pintar dan selamat.

“Habitat” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud (Biologi) tempat haiwan dan tumbuh-tumbuhan hidup secara semula jadi.

Berdasarkan takrif yang diberikan, bolehlah kita menyimpulkan bahawa tempat tinggal sesuatu hidupan atau makhluk seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan malahan organisma disebut sebagai habitat. Rincian dalam perbincangan juga ada memfokuskan sistem pengurusan alam sekitar seperti Agenda 21, Agenda Tempatan 21 dan Dasar Alam Sekitar Negara.

Buku ini mengandungi dua bahagian utama. Bahagian pertama memfokuskan kepada perbincangan gangguan habitat manusia. Melalui enam makalah yang dikongsikan dalam bahagian pertama ini, kita akan dapat mengetahui secara berasas gangguan pengurusan habitat manusia contohnya, mengenai kualiti alam sekitar di sesebuah habitat seperi mengambil kira air sungai, udara, sisa pepejal, banjir, pulau haba dan tanah runtuh.

Kesemua ini ada faktor terjadinya hal sedemikian yang mengakibatkan gangguan dialami di sesebuah habitat manusia.

Pembentukan habitat manusia berkait rapat pula dengan Dasar Kependudukan Negara yang mensasarkan matlamat kependudukan 30 juta yang diperjelaskan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat pada tahun 1984. Jelas di sini, satu perancangan yang sistematik dan terancang harus dilaksanakan agar elemen-elemen yang disebut tadi menjadi harmoni.

Seterusnya bahagian kedua memfokuskan kepada pengurusan habitat manusia. Perihal undang-undang menjadi pokok perbincangan bahagian ini yang merincikan undang-undang terhadap ancaman habitat.

Makalah seterusnya merincikan perancangan komuniti dan kelestarian persekitaran bandar serta perbincangan mengenai faktor ekonomi dan pengurusan alam sekitar yang boleh mempengaruhi kesan baik atau buruk kepada sesuatu habitat manusia.

Berdasarkan perkongsian melalui sembilan makalah yang dikongsikan dalam buku ini, jelas kita memerlukan komitmen pelbagai pihak khususnya dalam sektor perindustrian serta pembinaan agar mengambil kira keharmonian habitat dalam merealisasikan kemajuan perindustrian mereka. Buku ini akan menjadikan anda juga memahami tanggungjawab anda sebagai penyumbang kepada keharmonian habitat anda!

KERJAYA DALAM PENILAIAN PERUNDINGAN HARTA TANAH DI MALAYSIA
(Mohd. Hasrol Haffiz Aliasak dan Mohd. Farid Sa’ad, 2020)

Buku kedua ini akan membawa potensi pembaca kepada bidang kerjaya yang mencabar tetapi berpengaruh iaitu sebagai penilai dan perunding harta tanah. Lagipun sekarang ini, mungkin ada di antara kita dalam dilema mencari pekerjaan yang sesuai, khususnya lepasan siswazah. Apa kata anda meneroka peluang kerjaya ini yang rata-rata telahpun dikuasai oleh sahabat-sahabat kita daripada pelbagai kaum. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, mari saya bawakan kepada anda apakah yang harus anda lakukan sekiranya berminat dengan prospek kerjaya ini.

Sejarah pemodenan mengenai kerjaya ini telah dibawa oleh British semasa wujudnya Lembaga Pembersihan (Sanitary Board) pada penghujung abad ke-18. Apakah kaitan dengan pembersihan? Perkara pertama yang harus kita fahami pembersihan di sini bukanlah bermaksud pembersihan yang menggunakan sabun berbuih dan dibilas dengan air, kemudian kilat berseri! Pembersihan yang dimaksudkan di sini adalah bagaimana proses yang berlaku sebelum pemilikan hak kepada sesuatu prosedur harta tanah perlu dijalani oleh setiap pihak atau individu yang terlibat dalam pemilikan ini.

Sebelum tahun 1981, kerjaya ini disebut dengan pelbagai nama, antaranya pentaksir harta tanah yang melibatkan juga juruukur amalan am (penilaian) yang termaktub dalam Akta Pendaftaran Juruukur 1967. Seiring dengan perkembangan pesat sistem perundangan dan harta tanah, kerjaya ini juga berkembang pesat dan menjurus kepada khidmat runding profesional iaitu berkaitan penilaian harta tanah, pengurusan bangunan dan aset, perejenan harta tanah dan jururunding harta tanah.

Sebuah lembaga diwujudkan bagi mengawal selia, mengawasi, serta mengiktiraf individu  dan firma yang terlibat dalam bidang ini iaitu di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981.

Sewajarnyalah bidang kerjaya ini tidak timbul isu manipulasi atau tidak berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Hal ini kerana akta tersebut memastikan pihak yang terbabit serta pelanggan akan dilindungi daripada segala risiko yang mungkin timbul kerana urus niaga ini. Malang tidak berbau! Penipu memang sukar untuk kita kenal, tetapi sekurang-kurangnya dengan membaca buku ini, sedikit sebanyak anda sebagai penilai atau perunding harta tanah dapat menjalankan tanggungjawab anda dengan berkesan, manakala sebagai pelanggan pula anda dapat meminimumkan risiko ditipu! Dalam keadaan sekarang, kita memang tidak dapat menjangkakan apa yang boleh berlaku.

Apabila kita berpengetahuan, kita akan lebih berwaspada. Itu bermakna buku telah membuat kita lebih pintar seadanya!

Berdasarkan Malaysian Valuation Standards (MVS), terdapat 19 piawai yang telah digariskan untuk digunakan oleh penilai dan perunding harta tanah di Malaysia dalam melaksanakan fungsi mereka.

Piawai Malaysian Estate Agency Standard (MEAS) pula memperincikan sembilan piawai agar ejen harta tanah di negara ini melaksanakan peranan dan fungsi mereka dengan jayanya.

Kesemua ini boleh pembaca dapatkan secara terperinci daripada buku ini. Selain itu dilampirkan juga carta organisasi pihak berkuasa tempatan sebagai contoh bagi memperlihatkan unit dan perjawatan Bahagian Penilaian dan Kadaran. Bidang kerjaya ini tidak sahaja tertumpu pada sektor swasta sahaja, tetapi juga dalam sektor awam.

Contohnya jawatan Pegawai Penilaian dan Penolong Pegawai Penilaian dengan skim W diwujudkan bagi menguruskan hal seperti kaunter kadaran, bil dan posting, tunggakan, sewa beli tanah dan pengesahan, iklan dan ejen dan penukaran hak milik.

Jangan ketinggalan untuk mendapatkan buku ini bagi penelitian lanjut tentang kerjaya ini. Selain pintar menangani maklumat dalam era digital, para pembaca juga tidak rugi meneroka ilmu yang satu ini.

Kesemuanya bertujuan untuk memastikan kita bersamasama menjalani kehidupan yang harmoni di sarang cinta kita! Selamat membaca!

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas