Berita

“Terima kasih kerajaan…” – Peniaga

- Diterbit 15 November 2020 7:36 AM MYT

PENIAGA yang menerima kiosk daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib mereka.

Nor Hazlira Zainal Abidin, 45, menyifatkan kemudahan tempat berniaga yang disediakan menerusi program terbabit amat baik dan membantu menarik lebih ramai pelanggan.

Beliau yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman segera berkata, lokasi tempat berniaga itu strategik kerana terletak di tengah bandar raya selain menjadi laluan orang ramai terutama pelancong.

“Saya pernah berniaga di tapak sama sebelum ini dan kemudahan yang disediakan berbeza berbanding dahulu. Jika dahulu, saya terpaksa mengehadkan waktu perniagaan kerana kekurangan sumber bekalan air tetapi kini, kemudahan yang disediakan amat lengkap,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas lawatan tapak Program Usahawan Kota oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa di Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Tun Perak Kuala Lumpur pagi tadi.

Annuar sebelum itu berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL membuka peluang kepada warga kota untuk menjadi usahawan melalui sektor perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan di bawah inisiatif Wilayah Prihatin.

Jelas Annuar, inisiatif yang dilaksanakan kementeriannya itu adalah bukti keprihatinan kerajaan membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi mencari sumber pendapatan.

Seorang lagi peniaga, Azizah Hassim, 54, melahirkan rasa syukur kerana terpilih mengikuti program terbabit.

“Dalam keadaan yang tidak menentu ini, bidang keusahawanan dapat membantu saya mencari pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang kepada kami untuk berniaga. Kiosk yang disediakan juga lengkap dengan kemudahan yang diperlukan,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas